KEADAAN padang SNBJ yang tular di media sosial.
KEADAAN padang SNBJ yang tular di media sosial.
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menafikan gambar permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang teruk dan tular ketika ini adalah gambar terkini.

Padang SNBJ akan digunakan untuk aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya bertemu Oman, Selasa ini.

"Yang itu bukan gambar semalam atau gambar hari ini. Jadi kita kena tunggu pada hari perlawanan," katanya ringkas ketika ditemui pada sidang media kerjasama KBS dengan MyCC hari ini.

Gambar pemandangan dari atas permukaan padang itu mencetuskan persoalan di kalangan peminat Harimau Malaya adakah ia akan dapat digunakan pada hari perlawanan nanti.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon sebelum ini dilaporkan kecewa melihat keadaan padang SNBJ yang bakal menjadi gelanggang untuk perlawanan keempat Kumpulan D itu.

Jurulatih berasal dari Korea Selatan itu yang mengadakan lawatan di venue berkenaan mendapati keadaan padang tidaklah sempurna seperti diharapkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman bagaimanapun menerusi laporan selepas itu memberi keyakinan bahawa padang SNBJ mampu berada dalam keadaan terbaik.

Keadaan padang SNBJ menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila stadium itu menjadi venue beberapa konsert.

Anak buah Pan-gon tumbang 0-2 di tangan Oman pada perlawanan ketiga Kumpulan D dekat Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 12:06 PM