KEADAAN Stadium Nasional Bukit Jalil (kiri) dan Stadium Nasional Rajamangala selepas hujan. FOTO media sosial
KEADAAN Stadium Nasional Bukit Jalil (kiri) dan Stadium Nasional Rajamangala selepas hujan. FOTO media sosial
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika mahu mengetahui apa perbezaan ketara membabitkan Malaysia dan negara jiran iaitu Thailand ketika ini, sudah pastinya jawapan paling popular ketika ini adalah pengurusan stadium.

Hal ini kerana, sejak kebelakangan ini, padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjadi perbualan hangat menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia/piala Asia 2026 membabitkan Malaysia menentang Oman, esok.

Malah, netizen turut membuat perbandingan pengurusan stadium membabitkan SNBJ dan negara Gajah Perang iaitu Stadium Nasional Rajamangala di mana mereka cukup sistematik memastikan venue berada pada tahap optimum sebelum perlawanan bola sepak berlangsung.

Walaupun, Stadium Nasional Rajamangala turut kerap menjadi pilihan untuk mengadakan konsert membabitkan artis antarabangsa namun ia tidak sedikit pun menjejaskan kualiti padang venue itu.

Venue itu digunakan untuk beberapa konsert membabitkan artis antarabangsa seperti Ed Sheeran yang mengadakan konsert pada 10 Februari lalu. Selain itu, kumpulan terkenal iaitu Coldplay turut mengadakan konsert di venue sama pada 3 Februari.

Perbandingan lain yang dilakukan netizen adalah keadaan padang ketika hujan lebat apabila SNBJ bertukar bendang namun venue negara jiran itu tetap 'steady' tanpa air bertakung.

Situasi terbabit disebabkan sistem pengairan terdapat di Stadium Nasional Rajamangala menggunakan teknologi canggih selain pihak pengurusan stadium cekap menjalankan tugas masing-masing bagi mengelak padang rosak.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang SNBJ mula menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini selepas tersebarnya video di laman Youtube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Pemilik akaun YouTube menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video individu berkenaan memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu sebelum tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 5:44 PM