SILHAVY menjawab soalan pada sidang media di Wisma FAM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
SILHAVY menjawab soalan pada sidang media di Wisma FAM, hari ini. FOTO AZIAH AZMEE
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Status padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kurang memuaskan bukan lagi rahsia buat kem Oman apabila mereka mengetahui venue terbabit sebenarnya tidak bersedia untuk perlawanan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Malaysia, malam esok.

Ini kerana, jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy sudah mendapat maklumat awal bahawa 'bala' bakal menimpa pasukannya disebabkan padang SNBJ akan rosak atas faktor kekerapan hujan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, situasi terbabit tidak dapat dielakkan, sekali gus mengharapkan kejayaan memihak kepada pasukannya walaupun terpaksa beraksi dalam keadaan padang kurang memuaskan.

"Kami mengetahui cuaca di Malaysia sering hujan lebat, berikutan itu, kami mendapat maklumat keadaan padang tidak bersedia untuk perlawanan esok.

"Pada masa sama, kami dimaklumkan tidak boleh berlatih di padang terbabit dan situasi sama turut membabitkan pasukan Malaysia," katanya pada sidang media praperlawanan antara Malaysia menentang Oman di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang SNBJ mula menjadi buah mulut penyokong bola sepak tempatan ketika ini.

Ini disebabkan tersebarnya video di laman YouTube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.

Pemilik akaun YouTube itu menerbangkan dron untuk meninjau perkembangan terkini venue berkenaan selepas video dia memaparkan keadaan padang SNBJ beberapa hari lalu sebelum itu tular di media sosial.

Sementara itu, jurulatih berusia 62 tahun mengakui skuad Harimau Malaya akan 'mengamuk' di hadapan penyokong sendiri dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Sudah pastinya Malaysia bakal tampil dengan corak permainan berbeza berbanding di Muscat apabila mereka mahu meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

"Kami pasti boleh memenangi perlawanan esok, tidak kira walau apa jua berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 2:07 PM