PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO FB MFL
PRESIDEN MFL, Datuk Ab Ghani Hassan. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dasar penswastaan Liga Malaysia (Liga M) yang diperkenalkan pada 2020 bukanlah punca kepada isu tunggakan gaji dalam saingan domestik ketika ini.

Menurut Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, ia sebaliknya berlaku ekoran sikap segelintir pasukan yang berbelanja di luar kemampuan khususnya dalam menawarkan gaji terlalu lumayan kepada pemain.

"Tak juga (nafi dasar penswastaan punca). Dasar penswastaan dari FA (Persatuan Bolasepak Negeri) ke FC (Kelab Bolasepak) itu satu dasar yang bagus.

"Kerana ia memberi kebebasan kepada pengurusan pasukan membuat keputusan tanpa bergantung penuh kepada penaja dan kerajaan negeri dan sebagainya.

"Sebenarnya seperti saya katakan kemungkinan ada kelemahan dari segi pengurusan (kelab) di situ yang mengambil pemain bergaji tinggi, tetapi tidak tentu pendapatan masing-masing lagi. Hanya sebab kegagalan itu, kalau tak dapat makna dah tentu 'fail' bayar gaji.

"Saya harap tidak berlaku lagi perkara ini, kalau ada bajet, itulah (bajet) yang harus digunakan.

"Kalau bajet masuk ada RM10 juta, maka RM8 juta sahaja yang digunakan. Manakala RM2 juta lagi akan disimpan untuk pengurusan dan sebagainya," katanya.

Dasar penswastaan digerakkan pada 2020 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang merangkumi pemisahan daripada FA ke FC, sejajar dengan kehendak dan syarat diletakkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Ia bagi membolehkan setiap kelab bergerak secara bebas dan profesional, manakala FA akan lebih menumpukan kepada aspek pembangunan dan liga di kawasan masing-masing.

Terdahulu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluahkan rasa hairan mengenai isu tunggakan gaji yang disifatkannya umpama 'penyakit'.

Kata Hamidin, masalah berkenaan tidak pernah berlaku pada era 1980an dan 1990an, namun ia dilihat semakin serius sejak empat musim lalu.

Malah, katanya, biarpun pelbagai tindakan dan hukuman diambil termasuk menyingkirkan beberapa pasukan ekoran kegagalan melunaskan tunggakan gaji, namun ia tetap berlaku sekali gus membuatkan Hamidin kecewa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 5:46 PM