PRESIDEN MFL Datuk Ab Ghani Hassan.
PRESIDEN MFL Datuk Ab Ghani Hassan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak pernah berlembut atau terlalu memberi muka kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan KL City FC hanya kerana memberi ruang dan peluang kepada mereka sehingga 30 Mac ini bagi menyelesaikan semua tunggakan gaji yang dihadapi mereka.

Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL sekali lagi memberi peluang kepada dua pasukan itu selepas melihat komitmen dan keupayaan mereka untuk menyelesaikan isu dihadapi berdasarkan dokumen dihantar kepada MFL.

Malah, Ab Ghani juga menjelaskan MFL tidak pernah 'berlembut' dalam isu tunggakan gaji yang dilihat menjadi satu perkara serius terutama selepas mengambil kira beberapa pasukan sudahpun 'ditendang keluar' daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

"Kita ikut apa yang kita perhatikan kerana kadang-kadang kita memerhati daripada cakap-cakap sahaja tetapi kita suruh mereka hantar dokumen. Dengan berpandukan itu, kita mengambil langkah seterusnya seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar hari ini (semalam).

"Jadi MFL tidak berlembut kerana banyak pasukan sudah keluar seperti Sarawak United dan Kelantan FC. Kita perlu pastikan liga ini kompetitif dan dihormati.

"Malah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pun menyatakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memerhatikan apa yang berlaku dengan isu ini.

"MFL mengambil langkah tertentu untuk memastikan ia tidak berlaku lebih teruk lagi dan membantu pasukan supaya isu ini dapat diatasi negara," kata Ghani pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa MFL bersama Media di Subang Jaya, semalam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan KDA FC dan KL City FC bakal berdepan pemotongan tiga mata dalam Liga Super selain denda sebanyak RM50,000 sekiranya gagal menyelesaikan jumlah tunggakan gaji yang sedang dihadapi pasukan masing-masing pada tarikh kedua, 30 Mac ini.

Ini selepas kedua-dua pasukan itu gagal membuat bayaran 50 peratus jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh pertama, 15 Mac 2024 seperti yang ditetapkan First Instance Body (FIB) sebelum ini.

FIB juga akan menilai semula status lesen kelab terbabit jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga M akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 10:48 AM