HARAPAN  Perlis United nikmati saingan Liga Super tak kesampaian.
HARAPAN Perlis United nikmati saingan Liga Super tak kesampaian.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan Perlis United FC (PUFC) untuk membuat 'comeback' dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) hanyalah harapan palsu apabila kelab itu sah tidak diberikan Lesen Kebangsaan sekaligus menyaksikan saingan Liga Super hanya tinggal 13 pasukan.

Perkara itu disahkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif apabila mendapati PUFC gagal memenuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

"FIB menetapkan syarat untuk memastikan semua usaha wajar kewangan diselesaikan sebelum mengeluarkan sebarang lesen kepada PUFC mengikut kriteria tambahan seperti berikut.

"Bukti dana yang diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM5 juta seperti dalam cek yang dikemukakan sebelum 9 Mac 2024.

"Pengisytiharan yang ditandatangani oleh pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Disember 2023 sebelum 13 Mac 2024.

"Bukti perjanjian penajaan yang dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi yang akan diserahkan sebelum 15 Mac 2024.

"Pembayaran dana tajaan pertama yang diterima oleh PUFC daripada penaja di atas berdasarkan syarat pembayaran tajaan sebelum 22 Mac 2024.

"Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir namun FIB mengesahkan bahawa PUFC telah gagal tiga daripada empat syarat awal itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan," katanya.

Terdahulu, pada Januari lalu MFL membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab Liga Bolaeepak Amatur (AFL) M3 untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi menyertai Liga Super 2024-2025.

Sebanyak empat pasukan mengemukakan permohonan termasuk Perlis United, Kuala Lumpur Rovers, Imigresen FC dan Harini FT.

Begitupun menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL awal bulan ini, badan itu mengumumkan PUFC menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

"FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti untuk memastikan Liga M tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding.

"Kegagalan PUFC untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan tersebut menyaksikan hanya 13 kelab yang akan bersaing dalam Liga Super bagi musim 2024-2025," kata Sheikh Mohd Nasir itu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 3:25 PM