PENGURUS Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad.
PENGURUS Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) tampak bersedia dalam semua segi untuk memenuhi keperluan dan kriteria ditetapkan untuk bertanding di Liga Super, musim ini.

Pengurus Besar KL Rovers, Fadzlie Ahmad berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai persiapan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan termasuk sudah menyusun barisan pemain awang import bagi mengharungi Liga Super.

"Mengenai pemilikan luar negara bagi KL Rovers memang betul, kita ada pemilikan saham majoriti pemilik luar negara serta hampir selesai dan bergantung kepada kelulusan MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

"Untuk persiapan pemain kita sudah sedia, sudah ada pemain, barisan kejurulatihan sudah ada, untuk pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) pun kita sudah buat persiapan.

"Pemain dengan kita termasuk pemain senior sudah bersedia untuk turun latihan, macam pemain import pun kita sudah senaraikan.

"Pendek kata kita sudah 100 peratus bersedia cuma nak tunggu hitam putih sahaja dari MFL," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pada saingan Liga M3 musim lalu, KL Rovers muncul naib juara di belakang Imigresen FC, sekali gus diberi peluang memohon Lesen Kebangsaan bagi beraksi di Liga Super musim ini.

Semalam, satu sesi temuduga dijalankan oleh First Instance Body (FIB) yang memanggil empat wakil kelab termasuk KL Rovers.

Jelas Fadzlie, pihaknya berpuas hati dengan perjalanan temu duga itu dan berharap satu ketetapan mengenai kelab berjaya meraih slot berkenaan diumumkan segera bagi membolehkan pasukan terbabit melakukan persiapan.

"Untuk bermain di Liga Super, kita minta MFL dapat keluarkan satu keputusan segera memandangkan semua pasukan nak mempersiapkan diri.

"Bukan KL Rovers saja, tapi mana-mana pasukan yang dapatkan slot itu nanti, kerana kita hanya ada lebih kurang dua bulan saja sebelum sepak mula (Liga Super bermula Mei ini).

"Masa kalau ikutkan agak kritikal sebab kita pun nak puasa (bulan Ramadan). Kalau tanya pandangan kami, memang kami positif untuk ke Liga Super dan berharap diluluskan oleh MFL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2024 @ 5:04 PM