STUART berkata situasi terbabit tidak dapat dielakkan namun perkara itu tidak mengganggu perjalanan Liga Super setiap minggu. FOTO HAZREEN MOHAMAD
STUART berkata situasi terbabit tidak dapat dielakkan namun perkara itu tidak mengganggu perjalanan Liga Super setiap minggu. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan saingan Liga Super tidak akan menjadi huru-hara hanya kerana pengurangan kepada 13 pasukan untuk musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Datuk Stuart Ramalingam berkata, saingan Liga Super berjalan seperti biasa dan tidak menolak kemungkinan terdapat satu pasukan yang akan berehat kelak.

Beliau berkata, situasi terbabit tidak dapat dielakkan namun perkara itu tidak mengganggu perjalanan saingan Liga Super pada setiap minggu.

"Ada satu pasukan akan rehat. Jika diikutkan, kita sudah cuba sedaya upaya untuk memastikan ada 14 pasukan pada musim ini.

"Situasi terbabit, tidak akan berubah pada hari perlawanan dan akan ada pasukan akan berehat setiap minggu," katanya, pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa MFL bersama Media di Subang Jaya, kelmarin.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan harapan Perlis United FC (PUFC) untuk membuat 'comeback' dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musnah apabila kelab itu sah tidak diberikan Lesen Kebangsaan sekali gus menyaksikan saingan Liga Super hanya tinggal 13 pasukan.

Perkara itu disahkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif apabila mendapati PUFC gagal memenuhi syarat-syarat tambahan yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini.

Pada Januari lalu MFL membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab Liga Bolasepak Amatur (AFL) M3 untuk memohon Lesen Kebangsaan bagi menyertai Liga Super 2024-2025.

Sebanyak empat pasukan mengemukakan permohonan termasuk Perlis United, Kuala Lumpur Rovers, Imigresen FC dan Harini FT.

Begitupun menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL awal bulan ini, badan itu mengumumkan PUFC menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 bagi menyertai saingan Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 5:12 PM