KETUA Pegawai Eksekutif KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz.
KETUA Pegawai Eksekutif KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika segelintir pihak mempertikaikan serta mempersoalkan hasrat Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) mahu beraksi di Liga Singapura (Liga S), langkah berkenaan sebenarnya dilihat tepat dan bijak.

Bukan saja mampu mengekalkan kelab itu di tahap tertinggi dengan beraksi dalam divisyen utama berbanding liga bawahan, malah KL Rovers bakal menikmati agihan dana hak penyiaran Liga S yang lebih lumayan berbanding Liga Malaysia (Liga M).

Berdasarkan semakan, difahamkan Liga S memperuntukkan agihan dana penyiaran berjumlah 1.2 juta dollar Singapura atau bersamaan RM4.2 juta bakal diraih skuad The Rovers itu.

Malah lebih mengagumkan, dana penyiaran itu diagihkan sebelum Liga S bermula bagi membolehkan semua kelab mempersiapkan pasukan masing-masing.

Situasi itu dapat memastikan kestabilan kelab akan terus kekal kompetitif sebelum kantung pasukan terus bertambah di pertengahan liga, dengan kemasukan wang tajaan daripada syarikat luar serta hasil keuntungan 'merchandise' pasukan.

Perkara terbabit turut diakui Ketua Pegawai Eksekutif KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz yang percaya pasukannya mampu bersaing di Liga S biarpun ramai pihak meragui kemampuan naib juara Liga M3 musim lalu itu.

Katanya, kegagalan meriah Lesen Kebangsaan selepas permohonan KL Rovers ditolak oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), minggu lalu, membuatkan kelab itu mencari jalan lain bagi memastikan pasukan kekal di tahap terbaik.

"Kami dimaklumkan masih ada slot kosong dalam Liga S ketika ini dan kami tampil memohon untuk mengisi slot itu agar boleh kekal bermain di tahap tertinggi.

"Selepas tiga tahun main di Liga M3, kami mahu mengorak langkah bermain di liga utama dan peluang bermain di Singapura (Liga S) cukup baik.

"Betul (dana hak penyiaran) lebih tinggi di sana, sudah tentu ia dapat memberi setiap pasukan peluang membuat persiapan lebih baik apabila saya dimaklumkan kebiasaannya ia diberikan sebelum liga bermula.

"Untuk pengetahuan, perlawanan Liga S turut akan diadakan di KL (Kuala Lumpur) kerana konsep liga yang bermain secara tiga pusingan.

"Ia secara tak langsung membolehkan kami membawa nama KL di peringkat luar negara dan mempromosikan KL apabila ia disiarkan di televisyen negara itu nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, pada musim lalu MFL yang juga pentadbir Liga M mengumumkan agihan pendapatan menggunakan sistem merit mengikut kedudukan pasukan dalam liga.

Dalam sistem itu, juara Liga Super menerima habuan RM2.4 juta berdasarkan sistem pengagihan terbaharu itu selain lima lagi pasukan dalam kelompok enam teratas akan meraih lebih RM1 juta.

Pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.

Terdahulu, KL Rovers memilih untuk beraksi di Liga S selepas kecewa permohonan Lesen Kebangsaan bagi beraksi di Liga Super musim ini ditolak MFL.

Isnin lalu, satu sesi temu duga dijalankan First Instance Body (FIB) yang memanggil empat wakil kelab termasuk KL Rovers, Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United FC.

Perlis United FC kemudian menjadi pilihan terbaik untuk mengisi slot ke-14 Liga Super musim ini dengan syarat perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 5:25 PM