MOHD Firdaus Mohamed. FOTO NSTP
MOHD Firdaus Mohamed. FOTO NSTP
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengekori rapat situasi membabitkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang akan digunakan untuk digunakan sebagai venue konsert artis ternama iaitu Ed Sheeran.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, pihaknya tidak mahu menekan butang panik walaupun terdapat beberapa pihak menyatakan kemungkinan padang terbabit akan rosak selepas konsert itu.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan ke SNBJ sebaik tamat konsert terbabit untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berkaitan persediaan bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman 26 Mac ini.

"Kami akan mengadakan lawatan bagi melihat keadaan padang sebaik konsert terbabit berakhir dan ketika ini adalah tidak adil untuk FAM mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Pada masa sama, FAM juga berharap keadaan padang berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

"Perlawanan menentang Oman cukup penting dalam usaha Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan D bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan sejarah mungkin berulang apabila gelanggang keramat skuad Harimau Malaya iaitu SNBJ sekali lagi'dihenyak' untuk digunakan sebagai venue konsert Ed Sheeran.

Konsert berlangsung pada hari ini dan dijangka menarik puluhan ribu peminat artis antarabangsa sekali gus mengundang pertanyaan sejauh mana padang itu boleh bertahan.

Kesan buruk daripada penggunaan venue untuk konsert seakan boleh dibaca berdasarkan kepada persembahan Coldplay 22 November lalu hingga mengganggu perjalanan final Piala Malaysia.

Berdasarkan kepada situasi terkini,pentas bagi konsert itu diletakkan di bahagian tengah dan seperti video dan gambar yang beredar di laman media sosial, pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mencabut sebahagian rumput di tengah padang bagi meletakkan asas kepada pentas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 1:22 PM