PSM sebelum ini dikritik hebat kerana gagal selenggara padang SNBJ dengan baik selepas berakhirnya konsert Coldplay tahun lalu. - Gambar hiasan
PSM sebelum ini dikritik hebat kerana gagal selenggara padang SNBJ dengan baik selepas berakhirnya konsert Coldplay tahun lalu. - Gambar hiasan
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Soal kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) perlu diambil serius semua pihak dikala skuad Harimau Malaya ketika ini dilihat berpotensi besar untuk melangkah ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 buat pertama kali, dan mara automatik ke Piala Asia di Arab Saudi pada 2027 nanti.

Pandangan berkenaan dilontarkan jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin yang tidak mahu disebabkan kualiti padang teruk menyebabkan peluang anak buah Kim Pan-gon terjejas dan akhirnya berputih mata layak ke fasa berikutnya.

"Bukan nak kata padang tak 'OK' Malaysia tak boleh main...bukan. Tapi apabila bermain di tempat sendiri dalam keadaan prestasi tengah baik dan peluang juga amat baik, pastinya kita juga perlu meneydiakan tempat bermain yang cantik barulah kita boleh tunjukkan aksi terbaik.

"Kita tak nak disebabkan faktor padang menjejaskan permainan kita, dan apabila kita tidak menggunakan peluang dalam keadaan kita yang sangat cerah ini, kita tak dapat main baik sebab faktor padang yang mengganggu.

"Perkara ini pun dah banyak kali berlaku, kalau ia masih berterusan mungkin ia boleh beri kesan di mana perlawanan dengan Oman kita wajib menang untuk melayakkan diri lebih awal," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Nada sama disuarakan seorang lagi jurulatih berpengalaman, Mohd Fauzi Pilus yang juga bekas pengendali PDRM FC sebelum ini.

Fauzi menyarankan agar Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memantau rapat keadaan SNBJ dan segera mencari venue alternatif dengan tidak memperjudikan nasib Harimau Malaya sekiranya kualiti padang SNBJ tidak berada pada tahap terbaik sebelum menentang Oman pada 26 Mac ini.

"Saya fikir FAM kena segera ada pelan B jika padang SNBJ tidak menepati kualiti diharapkan. Saya lihat Stadium Sultan Ibrahim adalah venue terbaik buat meneruskan momentum skuad negara di Piala Asia yang bermain di atas padang cantik sebelum ini.

"Kita tidak boleh menyalakan PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) bulat-bulat kerana stadium itu bukan milik FAM. PSM juga ada KPI yang perlu dipenuhi kerana venue itu adalah stadium kegunaan ramai.

"Dalam pada masa sama, saya faham FAM juga tidak lepas tangan dan sentiasa fikirkan keputusan terbaik untuk pasukan negara. Jadi tindakan pantas perlu diambil FAM dengan segera memindahan perlawanan sekiranya mendapati padang tidak baik," kata Fauzi.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan sejarah mungkin berulang apabila gelanggang keramat skuad Harimau Malaya iaitu SNBJ sekali lagi'dihenyak' untuk digunakan sebagai venue konsert Ed Sheeran.

Konsert berlangsung semalam dan dijangka menarik puluhan ribu peminat artis antarabangsa sekali gus mengundang pertanyaan sejauh mana padang itu boleh bertahan.

Kesan buruk daripada penggunaan venue untuk konsert seakan boleh dibaca berdasarkan kepada persembahan Coldplay 22 November lalu hingga mengganggu perjalanan final Piala Malaysia.

Berdasarkan kepada situasi terkini, pentas bagi konsert itu diletakkan di bahagian tengah dan seperti video dan gambar yang beredar di laman media sosial, PSM mencabut sebahagian rumput di tengah padang bagi meletakkan asas kepada pentas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 2:54 PM