STADIUM Sultan Ibrahim adalah antara dua venue ‘simpanan’ jika SNBJ tidak dapat digunakan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
STADIUM Sultan Ibrahim adalah antara dua venue ‘simpanan’ jika SNBJ tidak dapat digunakan. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah dua venue 'simpanan' jika Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak dapat digunakan untuk aksi menentang Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan badan induk itu sudah mempunyai pelan B.

Katanya, FAM akan meninjau situasi di SNBJ khususnya berkenaan padang pada awal Mac ini dan jika keadaan tidak mengizinkan, kemungkinan perlawanan berkenaan terpaksa dialihkan di venue lain.

"Kami akan melawat Stadium Nasional pada awal Mac untuk melihat sendiri keadaan padang. Jika keadaan tak bagus, kita akan pergi tempat lain.

"Kita kena tengok dulu walaupun PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) maklumkan mengenai langkah untuk memastikan padang dalam keadaan baik.

"Namun, yang pentingnya pada awal Mac kita akan tengok sama ada ia boleh digunakan untuk perlawanan 26 Mac menentang Oman atau tidak. Saya berasa kalau Bukit Jalil tak bagus, mungkin (akan main di) Stadium Sultan Ibrahim.

"Saya belum maklumkan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim lagi. Kalau tak dapat, Terengganu, itu antara yang terbaik kerana Kim Pan Gon nak kualiti padang yang bagus," katanya ketika ditemui selepas sesi Town Hall bola sepak wanita FAM, di sini, hari ini.

Apa yang dinyatakan Hamidin itu sekali gus mengiyakan laporan Arena Metro semalam di mana beberapa jurulatih tempatan menggesa agar FAM menyediakan pelan B.

Pandangan itu disuarakan Sulaiman Hussin dan Mohd Fauzi Pilus yang mahu venue alternatif disediakan ekoran tindakan PSM yang membenarkan SNBJ digunakan untuk konsert Ed Sheeran.

Kesan buruk daripada penggunaan venue untuk konsert seakan boleh dibaca berdasarkan kepada persembahan Coldplay 22 November lalu hingga mengganggu perjalanan final Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:16 PM