KEADAAN padang SNBJ sebelum final Piala Malaysia pada Jumaat lalu. FOTO UTUSAN ONLINE
KEADAAN padang SNBJ sebelum final Piala Malaysia pada Jumaat lalu. FOTO UTUSAN ONLINE
Syazwan Msar dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap menaruh harapan tinggi terhadap Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam usaha memastikan venue keramat Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala 2027 Mac tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan, PSM sudah pasti mendapat pengajaran daripada dua insiden yang berlaku sebelum ini dan badan induk itu mahu skuad Harimau Malaya terus beraksi di gelanggang keramat itu, Mac ini.

"Kami masih percaya kepada PSM kerana selepas dua insiden ini, ada sesuatu untuk mereka pelajari di situ. Sudah tentu skuad kebangsaan ingin beraksi di depan penyokong di SNBJ yang masih menjadi gelanggang bertuah kami.

"Saya fikir perkara ini (padang rosak) tidak akan berulang sebab mereka mempunyai tempoh sebulan untuk memastikan padang itu dalam kondisi terbaik. Buat masa ini, kami kekal untuk menggunakan venue terbabit (untuk aksi kelayakan).

"Banyak lagi alternatif lain termasuk di Johor dan Terengganu jika apa-apa berlaku, tetapi makluman awal akan dibuat selepas kita meneliti keadaan semasa," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan nasib SNBJ semakin samar apabila dikhabarkan mungkin akan berlangsungnya satu lagi konsert yang bakal menghimpunkan puluhan ribu penonton awal tahun depan.

Ketika ini sudah bertebaran di media sosial padang SNBJ mungkin sekali lagi 'dihenyak' apabila konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran dijadualkan berlangsung pada 24 Februari tahun depan.

Perkara membimbangkan ketika ini adalah dalam tempoh sebulan kemudian, stadium keramat Harimau Malaya itu akan menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman, pada 26 Mac.

B erdasarkan kepada situasi itu, PSM hanya mempunyai tempoh sebulan untuk pastikan padang berada pada tahap terbaik untuk skuad Harimau Malaya beraksi tanpa sebarang masalah.

Walaupun, tempoh masa itu dikatakan mencukupi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengelak pisang berbuah dua kali dengan mencari venue alternatif lain bagi memastikan isu padang tidak lagi menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 9:54 PM