PENTAS bagi konsert Ed Sheeren diletakkan di bahagian tengah. FOTO AGENSI
PENTAS bagi konsert Ed Sheeren diletakkan di bahagian tengah. FOTO AGENSI
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tidak mahu pisang berbuah dua kali apabila menggunakan khidmat tenaga pakar iaitu Labosport dalam mempersiapkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk konsert Ed Sheeran dan perlawanan Kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Oman pada 26 Mac akan datang.

Menerusi kenyataan media PSM memaklumkan, sebagai langkah awal, pihaknya memindahkan rumput seluas 1,900 meter persegi bagi menempatkan pentas dan menara sistem audio mengikut tema "world tour" Ed Sheeran.

"Rumput yang dipindahkan kini diberi jagaan intensif termasuk pengairan dan pembajaan supaya kesihatan rumput berada pada tahap optimum.

"Selain itu, PSM bersedia untuk menggunakan rumput dari tapak semaian, sekiranya perlu.Tapak semaian sedia ada mempunyai keluasan rumput melebihi 2,000 meter persegi untuk menampung keperluan padang SNBJ.

"Kerja-kerja membongkar peralatan daripada konsert akan dimulakan sejurus selepas konsert berakhir dan kerja di padang akan bermula dengan segera selepas itu," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan sejarah mungkin berulang apabila gelanggang keramat skuad Harimau Malaya iaitu SNBJ sekali lagi'dihenyak' untuk digunakan sebagai venue konsert Ed Sheeran.

Konsert berlangsung pada hari ini dan dijangka menarik puluhan ribu peminat artis antarabangsa sekali gus mengundang pertanyaan sejauh mana padang itu boleh bertahan.

Kesan buruk daripada penggunaan venue untuk konsert seakan boleh dibaca berdasarkan kepada persembahan Coldplay 22 November lalu hingga mengganggu perjalanan final Piala Malaysia.

Berdasarkan kepada situasi terkini,pentas bagi konsert itu diletakkan di bahagian tengah dan seperti video dan gambar yang beredar di laman media sosial, PSM mencabut sebahagian rumput di tengah padang bagi meletakkan asas kepada pentas terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 2:03 PM