KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi final Piala Malaysia, Jumaat lalu.
KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil ketika aksi final Piala Malaysia, Jumaat lalu.
Syazwan Msar dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Keramat skuad Harimau Malaya hanya ada di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan jangan biarkan ia hilang hanya kerana padang bermasalah disebabkan penganjuran konsert.

Itu pandangan bekas penyerang skuad kebangsaan, Azman Adnan yang melihat skuad Harimau Malaya wajib beraksi di SNBJ pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman pada 26 Mac 2024.

Beliau berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) seharusnya berkorban demi negara dengan mengelak mengambil tempahan SNBJ dalam tempoh sebulan sebelum penganjuran perlawanan itu bagi memastikan padang berada pada tahap terbaik.

"Mana semangat patriotik mereka kerana skuad Harimau Malaya berjuang membawa nama negara di pentas antarabangsa pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 itu.

"Jika diikutkan sememangnya PSM perlu menjana pendapatan kerana mereka menjalankan perniagaan, namun perlu diingatkan ada ketika perkara itu perlu diketepikan demi negara.

"Venue bagi perlawanan terbabit mungkin boleh ditukar ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), namun kemeriahan dan aura tidak sama jika berlangsung di SNBJ," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

BEKAS penyerang skuad kebangsaan dan Selangor, Azman Adnan.
BEKAS penyerang skuad kebangsaan dan Selangor, Azman Adnan.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan nasib SNBJ semakin samar apabila dikhabarkan mungkin akan berlangsungnya satu lagi konsert yang bakal menghimpunkan puluhan ribu penonton awal tahun depan.

Ini kerana, ketika ini sudah bertebaran di media sosial padang SNBJ mungkin sekali lagi 'dihenyak' apabila konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari tahun depan.

Perkara membimbangkan ketika ini adalah dalam tempoh sebulan stadium keramat Harimau Malaya itu akan menjadi venue untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia menentang Oman, pada 26 Mac.

Berdasarkan kepada situasi berkenaan, PSM hanya mempunyai tempoh sebulan untuk pastikan padang berada pada tahap terbaik bagi skuad Harimau Malaya beraksi tanpa sebarang masalah.

Walaupun, tempoh masa itu dikatakan mencukupi, namun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengelak pisang berbuah dua kali dengan mencari venue alternatif lain bagi memastikan isu padang tidak lagi menjadi topik hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Sementara itu, bekas pemain bola sepak negara, Richard Scully mahu PSM dan FAM berbincang bagi memastikan SNBJ dapat digunakan tanpa sebarang masalah pada aksi kelayakan terbabit.

"Apapun SNBJ patut menjadi venue pada aksi kelayakan itu kerana kita mempunyai rekod cemerlang apabila beraksi di stadium terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 9:32 PM