TOMISLAV Steinbruckner sedang membentuk skuad mantap. FOTO GHAZALI KORI
TOMISLAV Steinbruckner sedang membentuk skuad mantap. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kelahiran Croatia yang dikenali sebagai Igor berada dalam radar Terengganu FC (TFC) bagi melengkapkan kuota enam pemain import dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Menurut sumber Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, pemain tengah yang kini beraksi dalam Liga Croatia itu menyatakan minat untuk menyarung jersi skuad Penyu.

Jelas sumber itu, selain Igor, seorang lagi pemain kelahiran Croatia yang dikenali sebagai Marin juga menyatakan kesediaan untuk menyertai skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu.

"Igor hampir pasti mengikut jejak penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut untuk menyertai pasukan pada musim ini selepas dia menyatakan keterujaan untuk beraksi dalam Liga M.

"Selain pemain tengah berusia 30-an itu, seorang lagi pemain yang dikenali sebagai Marin juga menyatakan minat untuk menyarung jersi TFC pada musim 2024/2025 ini.

"Jadi kita tunggu dan lihat perkembangannya dalam masa terdekat sama ada Igor ataupun Marin yang bakal mengisi seorang lagi kuota pemain import pasukan.

"Lagipun surat tawaran sudah diberikan kepada dua pemain itu serta kelabnya, kini hanya menunggu pengesahan daripada mereka, tapi kita akan menandatangani salah seorang daripada dua pemain itu kerana pada musim ini TFC hanya akan mengambil enam tonggak import.

"Harap peminat bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi bagi memastikan perjalanan untuk mengikat salah seorang pemain itu berhasil, selepas semuanya selesai kita akan perkenalkan secara rasmi," jelas sumber itu ketika ditemui semalam.

Setakat ini TFC sudah menandatangani kontrak lima pemain import iaitu Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Ismaheel Akinade (Nigeria), Argzim Redzovic (Montenegro), Matthew Steenvoorden (Belanda) dan penyerang kelahiran Croatia, Mamut.

Musim lalu TFC mengikat pemain tengah kelahiran Croatia, Domagoj Pusic, bagaimanapun pemain mirip wajah penyerang Perancis, Karim Benzema itu hanya bertahan selama enam bulan sebelum kontrak ditamatkan berikutan masalah prestasi hingga kerap memanaskan bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 12:47 PM