AKINADE ‘dirantai’ semusim. FOTO TFC
AKINADE ‘dirantai’ semusim. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas mengikat dua pemain kebangsaan semalam, Terengganu FC (TFC) memperkenalkan tonggak import baharunya dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Menerusi kenyataan rasmi media skuad itu hari ini, penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade menjadi pilihan ketua jurulatih skuad itu, Tomislav Steinbruckner bagi memastikan taji skuad itu lebih tajam.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas berkata, bekas pemain Kelantan United musim lalu itu 'dirantai' selama satu musim.

Jelas Mohd Sabri, kehadiran pemain berketinggian 1.90 meter yang juga pernah menyarung jersi skuad Kelantan FC pada musim lalu adalah bagi mengisi kuota import bebas.

"Pemain import yang mampu beraksi di posisi tengah dan serangan itu menjadi pilihan ketua jurulatih bagi memperkasakan lagi jentera depan pasukan dalam saingan kali ini.

"Pemain yang bakal mengisi kuota pemain import bebas itu dijangka bakal bergandingan dengan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut selain dua pemain tempatan, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

"Kita meletakkan harapan tinggi kehadiran pemain tinggi lampai itu mampu memberikan impak positif buat pasukan dalam misi mengintai sekurang-kurangnya satu trofi pada musim ini.

"Pemain yang pernah beraksi bersama kelab Dhaka City FC dalam Liga Bangladesh pada 2022 selain kelab Ho Chi Minh City FC dalam Liga Vietnam itu bakal menjalani latihan pertamanya bersama skuad TFC pada Khamis ini," katanya.

Terdahulu TFC sudah mengekalkan tiga tonggak import musim lalu iaitu pemain tengah kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov, pertahanan kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic selain Mamut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 9:58 PM