PEMAIN kelahiran Croatia, Ivan Mamut (kiri) dan Damagoj Pusic sah sarung jersi Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
PEMAIN kelahiran Croatia, Ivan Mamut (kiri) dan Damagoj Pusic sah sarung jersi Terengganu FC musim ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Damagoj Pusic menjadi 'senjata' terbaharu skuad Terengganu FC (TFC) dalam menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Mamut, 26, yang sebelum ini beraksi bersama Football Club SB (FCSB) dalam Liga Romania bakal beraksi diposisi penyerang dan akan menyarung jersi nombor 7 manakala Pusic, 32, yang beraksi bersama kelab NK BSK Bijelo Brdo dalam Liga Croatia akan bermain di jentera tengah bertahan dengan menyarung jersi nombor 8.

Kehadiran dua pemain senegara dengan ketua jurulatih baharu TFC musim ini, Tomislav Steinbruckner itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup sebelum ini selain melengkapkan senarai sembilan pemain import skuad Penyu itu.

Terdahulu TFC 'merantai' pertahanan kelahiran Uzbekistan, Surdor Kulmatov, Sony Norde (Haiti), Adisak Kraisorn (Thailand) selain menyambung kontrak pemain musim lalu, Habib Haroon dari Bahrain manakala tiga lagi bintang import iaitu Luke Woodland, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic masih mempunyai baki kontrak selama setahun lagi sehingga akhir November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, dua pemain import terbaharu itu masing-masing diikat kontrak selama setahun dalam misi memperkasakan lagi pasukan musim ini.

"Mamut dengan ketinggian 1.92 meter (m) dan Pusic 1.90m, secara rasmi sah menjadi milik pasukan TFC musim ini, dua pemain import itu menandatangani kontrak selama setahun sekali gus melengkapkan kuota pemain import kelab.

"Kehadiran Mamut bagi menggantikan penyerang musim lalu, Kpah Sherman yang tidak disambung kontrak dan dia bakal digandingkan dengan Adisak manakala Pusic bakal memperkuatkan jentera tengah yang sebelum ini diisi pemain kebangsaan Filipina, Manuel Ott.

"Kita berkeyakinan kehadiran pemain berkenaan bakal memantapkan lagi pasukan selain pasti memberi keyakinan kepada rakan sepasukannya dalam mengharungi kancah Liga M dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

"Kita harap mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat bersama rakan sepasukan bawah kendalian Tommy (Steinbruckner) sebelum saingan liga membuka tirainya," katanya ketika ditemui selepas mengumumkan dua pemain import baharu itu di pejabat TFC Sdn Bhd, hari ini.

Selain dua bintang baharu itu, TFC turut mendapat sentuhan jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic dan jurulatih penjaga gol, Damogoj Malovan yang kedua-dua kelahiran Croatia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 7:56 PM