KAD biru diperkenalkan di peringkat akar umbi di Englang. -FOTO Agensi
KAD biru diperkenalkan di peringkat akar umbi di Englang. -FOTO Agensi
AFP

London: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dan bos Tottenham, Ange Postecoglou mengetuai bantahan semalam mengenai cadangan kontroversi memperkenalkan kad biru dan 'sin-bin'.

Dilaporkan kad biru akan dilayangkan kepada pemain, yang kemudian akan dihantar ke 'sin-bin' selama 10 minit, sebagai sebahagian daripada percubaan terbaharu menangani kelakuan pemain di tengah padang.

Ketika ini, pemain dilayangkan kad merah atau dua kad kuning akan disingkirkan terus daripada permainan.

'Sin-bin' digunakan di peringkat akar umbi di England kerana salah laku.

Laporan menyebut pembuat undang-undang bola sepak IFAB menangguhkan maklumat mengenai percubaan itu berikutan rundingan dengan badan induk dunia FIFA.

Difahamkan fasa percubaan itu tidak akan diadakan di tahap tertinggi untuk mengelak pemain daripada berdepan terlalu banyak peraturan berbeza serentak.

Namun Klopp adalah antara beberapa pengurus Liga Perdana Inggeris yang melahirkan kebimbangan mengenai cadangan itu.

"Saya fikir segala-galanya kita perlu menjadikannya mudah semudah mungkin, bagi pengadil juga," kata pengendali dari Jerman itu semalam.

"Ia satu tugas sukar. Saya fikir pengenalan kad biru akan menuju kegagalan juga.

"Persoalan yang timbul: 'Ia kad biru, sepatutnya ia kad kuning selama ini? Kini berehat selama 10 minit. Pada masa lalu ia sepatutnya kad merah atau hanya kad kuning'.

"Ia tidak kelihatan seperti satu cadangan yang bernas sejak ia didedahkan tetapi sebenarnya saya tidak pernah ingat mana-mana idea fantastik datang daripada mereka ini, jika mereka pernah mengutarakannya. Saya sudah berusia 56 tahun, tidak pernah."

Postecoglou berkata rancangan itu mungkin satu lagi kesilapan oleh pihak berkuasa bola sepak selepas pengenalan kontroversi sistem VAR yang banyak menerima kritikan.

"Saya tidak fikir orang akan terkejut dengan pandangan saya mengenainya. Saya bergelut untuk memahami perkara ini dan tiba-tiba mereka mahu memperkenalkan perkara baharu," katanya.

"Saya tidak fikir ada terlalu banyak kesilapan dengan permainan seperti yang saya lihat. Isu terbesar saya dengan permainan ini ketika ini adalah VAR yang mengubah pengalaman, sama ada anda seorang pemain, seorang pengurus atau seorang penyokong.

"Lebih daripada itu, saya tidak tahu kenapa warna kad berbeza akan membuat sebarang perubahan."

Bos Arsenal, Mikel Arteta menggesa cadangan itu diuji dengan teliti sebelum kad biru mendapat lampu hijau.

"Kita berdepan banyak perkara yang perlu dilakukan dengan keputusan, dengan teknologi. Saya tidak tahu sama ada kita sudah bersedia dengannya," katanya.

"Siapa tahu (jika ia satu idea yang baik). Mudah-mudahan ia akan diuji dengan baik sebelum mereka memperkenalkannya di peringkat ini."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 12:37 PM