PENGADIL melayangkan kad merah kepada Mac Allister (dua dari kiri) ketika menentang Bournemouth.
PENGADIL melayangkan kad merah kepada Mac Allister (dua dari kiri) ketika menentang Bournemouth.
AFP

London: Kad merah pemain tengah Liverpool Alexis Mac Allister ketika menentang Bournemouth dibatalkan selepas Reds berjaya dalam rayuan mereka berhubung keputusan kontroversi pengadil.

Mac Allister dibuang padang oleh Thomas Bramall selepas terlanggar kaki pemain tengah Bournemouth Ryan Christie minit ke-58 ketika Liverpool menang 3-1 Sabtu lalu.

Pengurus Liverpool Jurgen Klopp berang dengan insiden itu dan mendakwa ketiadaan Mac Allister hampir keseluruhan babak kedua sudah cukup sebagai hukuman ke atas pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu.

"Selepas perlawanan saya menontonnya semula. Saya fikir jika ada senarai apa situasi kad merah boleh diberikan, selain sentuhan tiada lain yang boleh ditanda," kata Klopp.

"Ia keputusan kami semua setuju jika dia diberikan kad kuning VAR tidak akan membatalkannya dan jika diberikan kad merah VAR tak menukarnya kerana sentuhan tidak jelas dan ia satu kesilapan."

Mac Allister bakal digantung tiga perlawanan jika hukuman itu kekal tetapi dia kini boleh beraksi dengan pasukan.

"Suruhanjaya perundangan bebas mengetepikan penggantungan tiga perlawanan Alexis Mac Allister susulan berlaku kesilapan kad merah ke atasnya," kata jurucakap Persatuan Bolasepak.

"Pemain tengah Liverpool itu dibuang padang selepas melakukan kekasaran ketika aksi EPL menentang Bournemouth pada Sabtu, 19 Ogos."

Liverpool dalam kenyataan balasnya berkata: "Rayuan kelab ke atas hukuman itu ditarik balik dan Mac Allister kini boleh beraksi ketika Reds berkunjung ke Newcastle United Ahad ini."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 7:55 AM