GELAGAT  Jackson meraikan gol ketiga Chelsea. FOTO Reuters
GELAGAT Jackson meraikan gol ketiga Chelsea. FOTO Reuters
Reuters

London: Tottenham Hotspur gagal merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 1-4 di tempat sendiri kepada Chelsea dalam perlawanan menyaksikan Nicolas Jackson meledak hatrik manakala pasukan tuan rumah berakhir dengan sembilan pemain awal pagi tadi.

Ia kemenangan terbesar buat pengurus Blues, Mauricio Pochettino yang kembali ke Spurs namun dibayangi beberapa insiden membabitkan keputusan VAR, pertelingkahan pemain dan jaringan tidak dibenarkan.

Tottenham yang belum tewas terlebih dahulu di depan minit ke-6 hasil rembatan Dejan Kulusevski yang terkena pertahanan lawan dan beberapa minit kemudian gol Son Heung-min dibatalkan akibat ofsaid.

Pertahanan tengah Cristian Romero dibuang padang selepas VAR mengesahkan kekasaran dilakukan yang membolehkan Cole Palmer menjaringkan penalti dan situasi Spurs bertambah buruk apabila mereka kehilangan seorang lagi pertahanan Micky van de Ven dan perancang James Maddison akibat kecederaan sebelum rehat.

Destiny Udogie dilayangkan kad kuning kedua 10 minit selepas rehat yang menyukarkan tuan rumah memburu kemenangan dan kesempatan itu bijak dimanfaatkan Chelsea menerusi Jackson yang meletakkan pasukannya di depan minit ke-75.

Tottenham hampir menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian Eric Dier tetapi jaringannya dibatalkan akibat ofsaid manakala percubaan Heung-min pada minit akhir diselamatkan Robert Sanchez sebelum Jackson melengkapkan kemenangan Chelsea dengan dua gol lagi pada masa kecederaan.

Pastinya yang paling lega adalah Pochettino selepas meraih keputusan amat diperlukannya susulan permulaan hambar sejak dia mengambil alih tugas di Stamford Bridge.

"Saya rasa lebih baik, selepas empat tahun datang ke sini dan berkata helo kepada semua orang, ia hadiah kepada kami, " kata Pochettino kepada wartawan. "Sangat emosi tetapi pada masa sama ia memori.

"Perlawanan ini sangat kompetitif, secara jujurnya kami perlukan tiga mata dan ia hari hebat bagi kami."

Sementara itu, kekalahan pertama skuad pengendali dari Australia, Ange Postecoglou dalam saingan EPL menyaksikan Spurs menduduki tangga kedua dengan 26 mata daripada 11 perlawanan, satu mata di belakang juara Manchester City.

Kemenangan keempat Chelsea musim ini membolehkan mereka melonjak ke tangga ke-10 dengan 15 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 7:27 AM