SZMODICS melakukan percubaan untuk menewaskan penjaga gol Wrexham Arthur Okonkwo. FOTO AFP
SZMODICS melakukan percubaan untuk menewaskan penjaga gol Wrexham Arthur Okonkwo. FOTO AFP
Reuters

Blackburn, England: Sammie Szmodics menjaringkan dua gol ketika Blackburn Rovers bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Wrexham 4-1 awal pagi tadi sekali gus menempah pertemuan dengan Newcastle United pada aksi pusingan kelima Piala FA.

Andy Cannon meletakkan kelab Divisyen Empat Wrexham di depan pada minit ke-19 tetap Blackburn yang beraksi di Liga Kejuaraan membalas dua gol dalam tempoh dua minit pada babak pertama.

Szmodics menyamakan kedudukan pada minit ke-32 dan Sam Gallagher menjadikan 2-1 minit ke-34 selepas penjaga gol Wrexham Arthur Okonkwo tersilap jangkaan.

Szmodics menambah gol keduanya dan kelima dalam kempen Piala FA sejurus sebelum rehat dan pemain tengah Norway Sondre Tronstad menjadikan kedudukan 4-1 menerusi rembatan minit ke-59.

Jaringan Cannon adalah peluang pertama untuk Wrexham dan dia meledak rembatan menewaskan penjaga gol Aynsley Pears yang menggembirakan 7,000 penyokong mereka di Ewood Park.

Pears menyelamatkan percubaan Cannon tiga minit kemudian tetapi kelab Wales itu gagal meneruskan kisah dongeng mereka selepas Blackburn bangkit membelasah skuad pelawat.

Wrexham terkenal sebagai pembunuh gergasi ketika mereka yang beraksi di Divisyen Empat menyingkirkan juara liga Arsenal di pusingan ketiga Piala FA 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 8:59 AM