Reuters

Berlin: Franz Beckenbauer, antara pemain bola sepak terhebat Jerman yang mengetuai pasukannya menjuarai Piala Dunia 1974 dan kemudian sebagai pengurus pada 1990 meninggal dunia pada usia 78 tahun, menurut laporan agensi berita DPA semalam.

Beckenbauer yang lebih banyak beraksi di bahagian pertahanan terkenal dengan ketenangannya mengawal bola dan kegigihan ketika beraksi untuk Jerman Barat dan Bayern Munich pada era 1960-an dan 70-an.

Dia meraih 103 kap untuk negaranya, menjuarai Kejohanan Eropah 1972 dan kemudian menebus kegagalan pada final Piala Dunia 1966 di tangan England dengan menjuarainya di tempat sendiri pada 1974.

BECKENBAUER meninggal dunia pada usia 78 tahun.
BECKENBAUER meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Kelabnya Bayern Munich muncul kelab terbaik di dunia pada pertengahan 1970-an apabila menjuarai Piala Eropah dan Bundesliga masing-masing tiga kali berturut-turut manakala Beckenbauer sendiri dipilih dua kali menjadi Pemain Terbaik Tahunan Eropah.

Sebagai pengurus pasukan kebangsaan, pasukannya Jerman Barat tewas pada final Piala Dunia 1986 di tangan Argentina tetapi menebusnya empat tahun kemudian di Itali.

Beckenbauer yang terkenal dengan gelaran Der Kaiser (Maharaja), antara tiga lelaki yang menjuarai Piala Dunia sebagai pemain dan jurulatih. Kematiannya tiga hari selepas legenda Brazil Mario Zagallo yang turut meraih pencapaian itu selain Didier Deschamps dari Perancis.

Selepas menamatkan karienya sebagai jurulatih, Beckenbauer bertukar ke pentadbiran bola sepak tetapi pada 2016 dia didenda oleh jawatankuasa etika Fifa selepas gagal bekerjasama dalam membanteras rasuah berkaitan bidaan tuan rumah Piala Dunia 2018 dan 2022.

AKSI Beckenbauer (kiri) pada final Piala Dunia 1974 di Munich.
AKSI Beckenbauer (kiri) pada final Piala Dunia 1974 di Munich.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 8:27 AM