TUGU Beckenbauer akan dibina bersebelahan tugu Muller. FOTO Agensi
TUGU Beckenbauer akan dibina bersebelahan tugu Muller. FOTO Agensi
AFP

Munich: Bayern Munich akan memberi penghormatan kepada mendiang legenda bola sepak Jerman, Franz Beckenbauer dengan membina tugu di luar gelanggang Allianz Arena.

Beckenbauer, yang dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, meninggal dunia pada Januari di usia 78 tahun.

Tugu 'Der Kaiser' akan dibina bersebelahan dengan bekas rakan sepasukan dan penyerang Bayern, Gerd Mueller, selepas diperkenalkan September lalu.

Mueller, yang masih memegang rekod jaringan terbanyak Bundesliga, meninggal dunia pada Ogos 2021 pada usia 75 tahun.

Yayasan Kurt Landauer berkata, tugu itu akan diperbuat daripada gangsa dan 1.5 kali ganda saiz legenda berkenaan, sekitar 2.7 meter tinggi.

Dilahirkan di Munich, Beckenbauer bermain untuk Bayern selama 13 tahun, memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Bundesliga dan Piala Jerman beberapa kali, kemudian menguruskan kelab itu hingga berjaya.

Di peringkat antarabangsa, Beckenbauer memenangi Piala Dunia dengan Jerman sebagai pemain dan jurulatih dan juga satu-satunya pemain pertahanan yang memenangi Ballon d'Or dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 9:04 PM