FANDI Ahmad. FOTO Asrol Awang
FANDI Ahmad. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC mahu perlawanan terakhir Liga Super musim ini berakhir dengan kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada 16 Disember ini.

Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, berbaki satu perlawanan, beliau mahu anak buahnya dapat melakukannya sebagai penutup saingan liga berkenaan.

"Saya harap barisan pemain yang diturunkan nanti beraksi pada tahap terbaik terutama mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit perlawanan. Kemenangan ini pasti memberikan motivasi kepada pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (liga M) musim depan," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Dengan berbaki satu lagi perlawanan Liga Super, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima selepas mengutip 44 mata daripada 25 perlawanan.

Dilihat kepada kedudukan itu, Sri Pahang akan menamatkan kedudukan di kedudukan kelima memandangkan Sabah FC yang mengutip 51 mata berada di kedudukan keempat manakala Terengganu FC (TFC) di kedudukan keenam dengan 37 mata.

Jika skuad Tok Gajah menang, seri atau tewas sekalipun, ia tidak mengubah kedudukan dalam saingan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 4:36 PM