FANDI mahu perkasakan Sri Pahang. FOTO NSTP
FANDI mahu perkasakan Sri Pahang. FOTO NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Tempoh rehat saingan Liga Super akan dimanfaatkan sepenuhnya pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad untuk memperkasakan skuad itu.

Justeru, beliau berkata, beberapa kelemahan terutama di bahagian serangan dan tengah akan ditangani sebaiknya.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan komitmen dan prestasi di posisi pertahanan selepas enam perlawanan termasuk satu perlawanan di Piala FA.

"Namun, di bahagian serangan dan tengah perlu diperkemaskan lagi selepas enam perlawanan," kata lagenda bola sepak Singapura itu.

Ketika ini, skuad Tok Gajah bergantung sepenuhnya kepada penyerang import, Kpah Sherman di bahagian serangan berikutan kecederaan yang dialami seorang lagi penyerang, Lucas Silva.

Difahamkan, Silva memerlukan tempoh kira-kira sebulan lagi untuk kembali memperkasakan skuad itu.

Fandi berkata, selepas mengharungi enam perlawanan, rehat empat diberikan kepada semua pemain dan kembali menjalani latihan Selasa ini.

Katanya, sebaik kembali beliau akan memastikan pemain yang mengalami kecederaan akan kembali berada pada tahap terbaik.

"Saya harap prestasi lebih baik dapat dipersembahkan apabila saingan Liga Super bersambung nanti," katanya.

Selepas lima perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kelima Liga Super dengan mengutip sembilan mata daripada dua kemenangan dan tiga seri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 2:03 PM