Shahanieza (tiga dari kanan) memakai busana pengantin songket dengan sanggul lintang bersama bapanya dan penyokong TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Shahanieza (tiga dari kanan) memakai busana pengantin songket dengan sanggul lintang bersama bapanya dan penyokong TFC di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Firdaus Hashim dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Demi '11', rela berpakaian pengantin serba songket di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), petang ini.

Demikian kata seorang penyokong wanita Terengganu FC (TFC), Shahanieza Nur Aisyah Shaharen yang sanggup menggayakan busana pengantin semata-mata untuk menyokong skuad Penyu yang akan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di final Piala Malaysia, malam ini.

Shahanieza, 20, yang berasal dari Losong, Kuala Terengganu berkata, dia tidak kisah untuk berpakaian songket ini walaupun dalam cuaca panas.

"Kali ini, saya memakai serba songket kerana inginkan kemeriahan 'suasane' sahaja.

"Pakaian baju pengantin ini serta sanggul lintang yang dipakai hari ini adalah pinjaman daripada saudara saya," katanya ketika ditemui di SNBJ.

Menurutnya, semangat itu makin tercetus kerana meminati salah seorang pemain TFC iaitu Nor Hakim Hassan.

Sementara itu, bapanya, Shaharen Mohd Sarip berharap Terengganu mampu mengulangi kejayaan menjulang trofi berprestij itu pada 2001.

"Walaupun menghadapi cabaran agak besar menentang JDT kali ini, kejayaan melangkah ke final Piala Malaysia ini satu kemenangan penting bagi rakyat Terengganu.

"Jadi, saya ramal kali ini, ada sepakan penalti yang membuatkan TFC menang malam ini," kata Shaharen.

Peminat kedua-dua pasukan mula membanjiri SNBJ sejak jam 3 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 6:27 PM