PEMAIN TFC gigih berlatih menjelang final Piala FA menentang JDT, malam esok. FOTO ASYRAF HAMZAH
PEMAIN TFC gigih berlatih menjelang final Piala FA menentang JDT, malam esok. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehangatan perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC (TFC) menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok, semakin dirasai.

Walaupun di atas kertas kelebihan memihak kepada JDT yang mempunyai barisan pemain hebat, namun penyokong bola sepak tanah air mengharapkan tuah menjadi milik TFC untuk membawa pulang piala terbabit.

Menerusi tinjauan Harian Metro di platform Twitter membabitkan 600 pelayar menyaksikan 57.1 peratus memilih skuad kendalian Nafuzi Zain untuk membawa pulang Piala FA berbanding pasukan Harimau Selatan dengan 42.9 peratus.

Namun, keputusan terbabit berbeza di platform Instagram, hmetromy apabila 55 peratus iaitu 556 pelayar memilih skuad kendalian Hector Bidoglio menjuarai Piala FA manakala TFC pula mendapat undian sebanyak 45 peratus (464 pelayar).

Rata-rata maklum balas pelayar di ruangan komen mahu menyaksikan kejutan dilakukan TFC seperti terjadi pada final Piala Malaysia musim lalu apabila Kuala Lumpur City FC menumpaskan JDT.

"In sya Allah, ade kejutan buat Terengganu nanti di final, buat penyokong Terengganu," kata Muhammad Yusri Aziz.

"Jika Terengganu nak masuk AFC 2023, mereka kena buktikan dengan kemenangan di Final Piala FA 2022," kata Harith Ariffin Ibnu Asmadi.

"Memang atas kertas nampak mcm JDT menang...Tapi Terengganu solid tahun ni..perlawanan ini sengit bagi aku..Terengganu kunci bahagian tengah, confirm JDT tak dapat main macam biasa. Peluang sama rata bagi aku iaitu 50-50," kata Adnan Abu Ghaffar.

Selain, itu terdapat pelayar menjangkakan JDT bakal menang besar apabila tampil lebih menyakinkan pada musim ini.

"JDT terlalu kuat dan level dorang bukan lagi untuk Liga Malaysia," kata Muhamad Zubair.

"JDT 10-0 Terengganu," kata Hattarazka Sa'ad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 7:07 PM