Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sanggup 'bersidai' hampir 12 jam semata-mata tidak mahu terlepas peluang menyaksikan final Piala FA membabitkan Terengganu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hari ini.

Itu penangan final Piala FA selepas dua tahun menyepi berikutan Covid-19 dan perlawanan terbabit kembali menghangatkan kalendar bola sepak tanah air musim ini.

Malah, terdapat penyokong yang sanggup tidur di surau di sekitar bandar ini sebaik tiba di jam 3 pagi tadi sebelum hadir ke SNBJ untuk menyaksikan perlawanan bersejarah itu bermula jam 9 malam.

Penyokong skuad Harimau Selatan, Nuradibah Mohd Salleh, 23 berkata, dia bertolak dari Kulaijaya, Johor tengah malam tadi bagi mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas di ibu kota.

"Sebaik tiba di sini, saya tidur dahulu di surau supaya tidak berhadapan masalah kesesakan lalu lintas kerana sedia maklum terdapat juga konsert sekitar SNBJ sekali gus sudah pastinya ramai yang akan hadir.

"Jangkaan saya sudah tentu JDT akan menjulang piala dengan menumpaskan Terengganu 2-1. Bergson Da Silva akan mencetak nama sebagai penjaring gol," katanya yang sudah dua kali menyaksikan perlawanan akhir membabitkan JDT.

ZARINA (tengah), Nuraireen (kiri) dan Nuradibah tiba sejak semalam untuk menyaksikan final Piala FA.
ZARINA (tengah), Nuraireen (kiri) dan Nuradibah tiba sejak semalam untuk menyaksikan final Piala FA.

Seorang lagi penyokong JDT Nuraireen Sabrina Awazmin, 21, berkata, walaupun terpaksa 'bersidai' dalam tempoh yang lama sebelum dibenarkan memasuki stadium namun perkara terbabit tidak menjadi masalah demi menyaksikan Harimau Selatan dapat menjulang piala.

"Saya lihat JDT boleh menang besar sehingga 5-0 menumpaskan Terengganu namun saya berfikir secara realistik mungkin jaringan 1-0 saja," katanya.

Sementara itu, penyokong Terengganu Zarina Mohd Ghani berkata, TFC sudah pasti mampu menjulang piala FA apabila mempunyai barisan pemain yang mantap dan terbaik.

"Saya sanggup menunggu 12 jam untuk memberi sokongan kepada TFC dan yakin tonggak skuad Penyu Faisal Halim akan menyumbang gol pada malam ini.

"Saya bertolak dari Kuala Terengganu jam 6 petang semalam dan tiba di pe karangan stadium kira-kira 5 pagi tadi sampai ke SNBJ. Perjalanan cukup jauh dan berharap tuah kepada Terengganu memenangi perlawanan final ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 4:25 PM