KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilihat tidak sesuai untuk aksi final Piala Malaysia.
KEADAAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilihat tidak sesuai untuk aksi final Piala Malaysia.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bukan saja dikritik peminat bola sepak tanah air, malah turut mendapat reaksi legenda Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi.

Dia yang lebih popular dengan panggilan Piya mengakui kecewa dengan situasi semasa SNBJ yang bakal menganjurkan aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC), malam esok.

Jelas Piya di ruangan komen di Instagram menyatakan, padang teruk di SNBJ itu lebih sesuai untuk diusahakan tanaman ubi kayu pada musim hujan, berbanding melangsungkan aksi bola sepak.

"Nok tengok bola sedap lagu mano, padang pun baik buat nane (tanam) ubi kayu musim huje (hujan) ni.

"Pastu nok (nak) tengok 'game' kualiti guano (macam mana) kalau padang gini," tulisnya di ruangan komen yang memuatnaik gambar tular keadaan semasa padang SNBJ ketika ini.

Piya bukanlah nama asing dalam kancah Liga Malaysia termasuk pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan pada 2010 dan 2012.

Pada aksi final 2010, Kelantan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dengan Piya meledak gol kemenangan pada aksi yang berlangsung di SNBJ.

Kejuaraan sama diulangi pada musim 2012 apabila skuad The Red Warriors menumbangkan ATM 3-2 yang diadakan di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 5:38 PM