JORDI (dua dari kiri) memegang Piala Malaysia bersama kapten TFC, Habib Haroon pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH
JORDI (dua dari kiri) memegang Piala Malaysia bersama kapten TFC, Habib Haroon pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO ASYRAF HAMZAH
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Tetapi apa yang lebih merisaukan adalah keadaan padang dan saya tidak begitu gembira (melihatnya)."

Itu pengakuan ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat selepas melihat sendiri permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum hadir ke sesi sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia di SNBJ, hari ini.

Jordi yang akan memimpin rakan sepasukannya turun menentang Terengganu FC (TFC) mengakui tidak begitu gembira dengan permukaan rumput di SNBJ menjelang aksi final malam esok.

Kata bekas pemain pertahanan Espanyol, Rayo Vallecano dan Swansea City itu, dia agak risau dengan keadaan padang yang masih rosak dan bakal menjejaskan permainan skuad Harimau Selatan.

"Kita jangkakan perlawanan sukar, tetapi apa yang lebih merisaukan adalah keadaan padang dan saya tidak begitu gembira (melihatnya).

"Jika keadaan hari perlawanan masih sama, mungkin kita akan atur strategi lain untuk mengelak daripada bermain di atas padang yang tidak rata," katanya pada sidang media itu.

Sebelum ini, isu padang SNBJ 'meletup' selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi keadaan padang yang rosak selepas berakhirnya konsert Coldplay, dua minggu lalu.

Jelas pemain warisan Indonesia itu, tiada mana-mana pasukan yang dilabel sebagai pilihan dalam perlawanan akhir kerana TFC turut mempunyai kelebihan.

"Secara jujurnya saya suka bagaimana Terengganu bermain kerana mereka sangat bagus.

"Sudah tentu JDT perlu bermain lebih baik daripada pihak lawan. Kami perlu mengekalkan mentaliti kemenangan untuk perlawanan akhir ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 8:29 PM