ABDUL Rahim menegaskan, amaran keras akan diberikan kepada kedua-dua penyokong yang sengaja menimbulkan kekacauan. FOTO Ihsan Terengganu FC
ABDUL Rahim menegaskan, amaran keras akan diberikan kepada kedua-dua penyokong yang sengaja menimbulkan kekacauan. FOTO Ihsan Terengganu FC
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba mencemari perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Terengganu FC (TFC ) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini, malam ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama penyokong daripada kedua belah pasukan yang bertanding yang cuba mencetuskan kelancaran perlawanan berkenaan.

Justeru katanya, polis akan menempatkan seramai 400 pegawai dan anggota bagi menjaga serta mengawal ketenteraman awam dan keselamatan perlawanan berkenaan.

"Kawalan ketat akan dilakukan di semua pintu masuk bagi memastikan penyokong kedua-dua pasukan yang bertanding tidak membawa barangan terlarang ke dalam stadium," katanya disini, hari ini.

Beliau berkata, polis dan petugas keselamatan lain akan melakukan pemeriksaan badan secara terperinci bagi memastikan penonton tidak membawa barangan yang dilarang.

Jelasnya, barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah seperti mercun, bunga api, suar, dinamit, laser, mancis, pemetik api, powerbank, topi keledar, botol air, botol kaca, tin minuman.

Barangan lain katanya, adalah sebarang objek tajam sama ada kayu, besi, pisau, parang, gunting, payung serta tongkat.

"Minuman keras, dron, alat pembesar suara dan alat peniup yang mengeluarkan bunyi bising juga tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium," katanya.

Abdul Rahim menegaskan, amaran keras akan diberikan kepada kedua-dua penyokong yang sengaja menimbulkan kekacauan dan kekecohan menerusi perhimpunan, perarakan, provokasi, merusuh, pergaduhan dan nyanyian berbentuk sindiran, hinaan, membakar atau menyalakan suar (flare).

Katanya, mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu sebelum, semalam dan selepas perlawanan akan dikenakan tindakan undang-undang.

"Saya menyeru semua penonton, penyokong memberi kerjasama dan mematuhi sepenuhnya garis panduan dan SOP (Standard Operating Procedure) terhadap kawalan keselamatan di stadium seperti mana yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)," katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan menempatkan pegawai dan anggota di luar kawasan stadium termasuk polis trafik bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan jenayah lain sepanjang perlawanan bolaseoak itu berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 3:17 PM