KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din
KETUA Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kawalan ketat akan dilakukan petugas keselamatan bagi memastikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak Jumaat ini lancar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, kawalan pemeriksaan terperinci akan dilakukan petugas keselamatan sebelum dan selepas pintu masuk stadium.

Beliau berkata, pihaknya menyeru dan memohon kerjasama semua pihak agar dapat mematuhi sepenuhnya garis panduan dan SOP (Standard Operating Procedure) terhadap kawalan keselamatan di stadium seperti mana yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan pada badan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium bagi memastikan penonton tidak membawa barangan yang dilarang ke dalam stadium," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang dikesan membawa dan memiliki barangan yang dilarang.

Jelasnya, barangan yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium adalah seperti mercun, bunga api, suar, dinamit, laser, mancis, pemetik api dan power bank.

Barangan lain adalah topi keledar, botol air,botol kaca, tin minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 10:25 PM