FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 267 pegawai dan anggota polis ditempatkan di stadium di sini, untuk mengawal keselamatan dan trafik, sempena perlawanan bola sepak Liga Super Malaysia 2022, malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, seramai 5,000 penonton dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kuala Lumpur City FC menentang Johor DT FC.

"Kami akan meningkatkan kawalan di dalam serta luar stadium bagi memastikan keadaan keselamatan terjamin dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, petugas juga akan memeriksa badan dan beg dibawa penonton, selain mereka yang tidak lengkap vaksin dilarang memasuki stadium.

"Penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang termasuk mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, sebarang objek tajam termasuk besi serta kayu, semua jenis senjata, parang, minuman keras, payung dan tongkat," katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat penonton yang melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, selain gagal menjaga tatasusila dan melakukan provokasi melampau hingga mencetuskan kekacauan.

"Untuk kelancaran lalu lintas sepanjang perlawanan pula, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pengangkutan awam ke stadium dan mengelak melalui jalan-jalan sekitarnya jika tidak bertujuan menonton perlawanan bola sepak itu bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Patuhi arahan daripada anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium," katanya yang turut menasihati pengguna supaya mengamalkan sikap bersabar dan sopan semasa memandu.

Menurutnya, tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-92050222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 6:59 PM