Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Polis mengingatkan penyokong kedua pasukan bola sepak yang beraksi pada perlawanan akhir Piala FA agar mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak aman pada perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak merampas objek dan bahan berbahaya yang cuba dibawa masuk penyokong kedua pasukan ke dalam stadium sebelum sepak mula perlawanan.

"Mercun, suar, mancis, pemetik api, pisau, objek tajam, botol air, laser, topi keledar dan senjata api adalah antara objek yang dilarang dibawa masuk ke dalam stadium dan pihak polis tidak akan teragak-agak merampas objek tersebut kerana ia boleh menjejaskan keselamatan awam," katanya.

Menurutnya, kain rentang berbaur provokasi juga tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium dan tindakan merampas akan dilakukan sekiranya ada penyokong yang ingkar dengan arahan tersebut.

Chong memberi jaminan kekuatan anggota polis mencukupi dalam mengawal situasi di luar dan di dalam stadium semasa perlawanan antara pasukan Kelantan dan LionsXII berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 4:09 PM