PEMAIN Kedah meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 3-0 pada Perlawanan Liga Super Kedah Darul Aman FC bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman di sini hari ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN Kedah meraikan kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC dengan jaringan 3-0 pada Perlawanan Liga Super Kedah Darul Aman FC bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman di sini hari ini. FOTO BERNAMA
Izzali Ismail


Alor Setar: Isu gaji tertunggak tidak menghalang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 3-0 ke atas Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super ke-23 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Sang Kenari kini mengumpul 50 mata untuk kekal di tangga ketiga, hanya kurang dua mata berbanding Selangor FC di tangga kedua.

Tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang NSFC melalui pemain tengah, Amirul Hisyam yang melakukan rembatan kencang di bahagian kiri gawang namun berjaya ditepis keluar penjaga gol, Sikh Izhan.

Serangan berterusan tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan pertama melalui kapten pasukan, Manuel Ott pada minit ke-13 yang merembat kencang dari luar kotak penalti.

Selang tiga minit kemudian Kedah terus garang dengan menambah gol kedua menerusi pemain import kelahiran Tajikistan, Amirbek Juraboev yang menolak bola hantaran Ifedayo Olusegun dari ruang kiri gawang NSFC.

NSFC cuba bangkit dengan serangan melalui dua percubaan bermula minit ke-28 oleh Filemon Anyie dan diikuti percubaan depan gol oleh pemain pertahanan, Zamri Ramli selang beberapa minit kemudian namun masih gagal menghasilkan gol.

Kedah terus memburu gol ketiga pada dua minit terakhir babak pertama melalui Ifedayo Olusegun namun sepakannya sedikit sipi melepasi tiang gol NSFC.

Sebaik bermula babak kedua, Kedah terus menekan kubu NSFC dan usaha mereka berhasil apabila penyerang utama Idedayo Olusegun berjaya menyempurnakan gol ketiga pada minit ke-53 dengan menolak bola hantaran lintang daripada Manuel Ott.

Gawang NSFC sekali lagi hampir dibolosi pada minit ke-69 apabila gerakan pantas Kedah melalui Ifedayo Olusegun gagal dimanfaatkan Amirbek Juraboev yang tersasar sedikit tinggi dalam percubaannya di depan gawang lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 7:56 PM