MANUEL Hidalgo (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan United. FOTO SYAHARIM ABIDIN
MANUEL Hidalgo (dua dari kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan United. FOTO SYAHARIM ABIDIN
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak menghadapi masalah menjinakkan skuad Kelantan United FC (KUFC) dengan keputusan 3-1 pada aksi ke-17 Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Jaringan dua gol oleh penyerang sensasi Ifedayo Olusegun pada malam ini menjadikannya wira pasukan sekali gus terus membantu mengukuhkan kedudukan Sang Kenari dalam kelompok atasan liga dengan jumlah 34 mata yang terkumpul setakat ini.

Aksi bersemangat disajikan tuan rumah yang lebih banyak mengasak kubu Sang Kijang Hijau pada babak pertama dengan dimulai percubaan oleh pemain naturalisasi Lee Tuck pada minit ke-4 namun percubaannya itu terus ke dakapan penjaga gol, Kelantan United, Shahril Sa'ari.

Kelantan United cuba membalas serangan dengan peluang terbaik diperoleh melalui penyerang importnya Jose Porteira pada minit ke-26 yang mencuba melalui rembatan dari luar kotak penalti namun bola percubaannya itu terkena palang gol.

Kedah terus mengatur langkah memburu gol melalui penyerang utamanya Ifedayo melalui tandukan pada minit ke-32 dan disusuli percubaan Lee Tuck pada minit ke-35 melalui sepakan bebas, namun kedua-dua percubaan gagal membuka tirai jaringan buat tuan rumah sehingga ke penghujung babak pertama.

Memasuki babak kedua, Kedah terus menggandakan usaha dengan kemasukan Fayadh Zulkifli bagi membantu menguatkan lagi jentera serangan, dan hasilnya gol yang dinanti Kedah berjaya dihasilkan pada minit ke-54 melalui penyerang utama Ifedayo yang menanduk kemas bola ke gawang Kelantan United selepas menerima hantaran pemain bek Wan Amirul Afiq.

Asakan demi asakan untuk menambah gol yang dilakukan Kedah berjaya mengucar-kacirkan kubu Kelantan United dan penjaring gol pertama Kedah Ifedayo sekali lagi meletakkan bola ke dalam gawang untuk gol kedua Kedah pada minit ke-74 selepas pemain pertahanan pelawat gagal menampan kemas bola dalam kawasan bahaya.

Kedah terus menambah derita Kelantan United melalui pemain gantian Amirbek Juraboev yang berjaya merembat cantik ke dalam gol pelawat pada minit ke-85.

Kelantan United yang ketinggalan tiga gol, bagaimanapun berjaya mendapat gol sagu hati selepas membolosi gawang Kedah di hujung babak kedua melalui penyerangnya Ismaheel Akinade.

Keputusan 3-1 yang memihak Kedah ini kekal hingga tiupan wisel penamat oleh pengadil pasukan Muhammad Nazmi Nasarusdin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 11:38 PM