AKSI antara Kedah dan JDT sebentar tadi. FOTO Bernama
AKSI antara Kedah dan JDT sebentar tadi. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar : Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menangguhkan Johor Darul Ta'zim (JDT) daripada bergelar juara Liga Super musim ini apabila mencatat keputusan seri 3-3 pada aksi Liga Super ke-21 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Skuad Harimau Selatan yang mengidam sambutan kejuaraan lebih awal untuk melakar sejarah 'Perfect 10' dengan menjuarai Liga Super kali ke-10 berturut-turut bagaimanapun terpaksa menunggu sedikit masa lagi apabila mengumpul 61 mata selepas mengharungi 21 perlawanan liga musim ini.

Pada aksi penuh sengit di depan hampir 12,000 penonton ini, tuan rumah diasak oleh JDT menerusi tandukan pada minit kelima oleh Bergson namun percubaannya itu ditepis penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Kedah cuba bangkit dengan percubaan Moses Atede pada minit kesembilan hasil rembatan jarak jauh namun mudah diselamatkan penjaga gawang JDT, Syihan Hazmi.

Percubaan Kedah untuk membuka tirai jaringan di laman sendiri terhasil apabila penyerang utamanya Ifedayo Olusegun menanduk bola masuk ke gawang JDT pada minit ke-35 bermula dari sepakan sudut Manuel Hidalgo sekali gus menggamatkan suasana Stadium Darul Aman.

Bermula babak kedua, Kedah terus menggandakan serangan selepas mendapat motivasi di babak pertama dan hasilnya, kapten pasukan Manuel Ott menambah gol kedua pada minit ke-49 menerusi percubaan cantik hantaran Hidalgo.

Terkesan dengan dua gol dibolosi, JDT segera bangkit kembali dengan gol tandukan pemain pertahanannya, Corbin Ong selang tiga minit kemudian selepas menerima hantaran tandukan pemain gantian Shane Lowry.

Kedudukan 2-1 itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila JDT yang mendapat keyakinan gol pertama terus menambah jaringan kedua untuk menyamakan kedudukan melalui pemain importnya Heberty Fernandes pada minit ke-55.

Kedah melakukan dua percubaan masing-masing melalui Ifedayo dan Manuel Ott pada minit ke-62 dan 66 namun gagal menghasilkan gol.

JDT tidak menunggu lama apabila pemain sayapnya, Arif Aiman meletakkan JDT di depan pada minit ke-73 hasil rembatan lajunya di bahagian kiri gawang Kedah sekali gus menjadikan kedudukan 3-2.

KDA bagaimanapun melakukan kejutan pada minit akhir babak kedua apabila pemain gantian, Amirbek Juraboev yang mendapat hantaran dari Hidalgo merembat bola bagi menyamakan kedudukan buat Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 11:35 PM