JURULATIH Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain. -FOTO Izzali Ismail
JURULATIH Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain. -FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar : Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain berbangga dengan corak persembahan yang ditunjukkan pemainnya apabila mengikat pendahulu Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) 3-3 di Stadium Darul Aman semalam.

Aksi Sang Kenari dengan tiga gol terhasil melalui jaringan oleh penyerang Ifedayo Olusegun pada minit ke-36, Manuel Ott (m-50) dan Amirbek Juraboev (m-92) itu disifatkan Nafuzi sebagai gambaran sebenar keupayaan yang dimahukan untuk skuad Sang Kenari.

"Saya bersyukur. Satu mata ini sangat berharga. Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pemain dan corak berbeza yang dipamerkan ini sangat menarik untuk ditonton.

"Selepas kami mendahului JDT pada babak pertama, saya maklumkan pemain supaya jangan perlahankan rentak permainan sebaliknya teruskan rentak mereka dan beri tekanan kepada lawan hingga ke hujung perlawanan," katanya.

Nafuzi juga berkata skuadnya juga sebenarnya turut merasai tekanan tinggi apabila berdepan JDT berbanding pasukan lain kerana skuad Harimau Selatan ini jelas belum pernah ditewaskan pada musim ini.

"Saya tahu pemain saya juga tertekan dalam perlawanan ini kerana JDT mempunyai kualiti yang agak tinggi dan tahap yang berbeza dengan perlawanan pertama kami tewas 0-6 di tempat lawan.

"Jadi situ kami belajar agar kekalahan itu tidak lagi berulang dan pada perlawanan ini kami beri segalanya dan jika kami mampu kekalkan rentak seperti ni, peluang kami untuk kekal di kelompok atas liga adalah lebih cerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 2:22 PM