NAZARI (kiri) akui pasukannya berada pada landasan terbaik sebelum berdepan wakil Filipina, Stallion Laguna FC Khamis ini. FOTO GHAZALI KORI
NAZARI (kiri) akui pasukannya berada pada landasan terbaik sebelum berdepan wakil Filipina, Stallion Laguna FC Khamis ini. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Omid Nazari akui pasukannya kini berada pada landasan terbaik untuk mengintai kemenangan kedua dalam saingan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Kumpulan G.

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu bakal melayani kunjungan kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, pada jam 4 petang Khamis ini.

Jelas pemain berusia 32 tahun kelahiran Sweden yang mendapat taraf kerakyatan Filipina itu, kemenangan 2-1 menundukkan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Sabtu lalu memberikan tonik berharga buat dirinya serta rakan sepasukannya.

Malah pemain yang berpengalaman luas beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Malmo dalam Liga Sweden itu juga mahu menjadi watak penting dalam pasukannya jika disenaraikan.

"Kami berada pada tahap prestasi terbaik sebelum berdepan wakil Filipina itu terutama selepas berjaya merakam kemenangan dalam saingan Piala Malaysia menentang KL City sebelum ini.

"Saya percaya barisan kejurulatihan yang diketuai Tommy (Steinbruckner) akan cuba menerapkan strategi dan taktikal berbeza untuk melakar kemenangan dalam perlawanan ketiga itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri.

"Justeru beraksi sebagai satu pasukan dengan memperagakan aksi terbaik amat penting bagi mengekang pergerakan pemain lawan daripada bergerak bebas kerana kami mahu mengutip tiga mata lagi sekali gus mengintai kedudukan teratas kumpulan buat kali pertama," ujar Nazari yang mahu membuktikan kehadirannya dalam skuad TFC benar-benar memberi impak yang positif.

Bagaimanapun pemain yang baharu musim pertama bersama TFC akui ianya bukan tugas mudah untuk menjinakkan lawan lebih-lebih lagi skuad itu belum lagi mengutip sebarang mata setakat ini.

"Atas kertas ianya nampak mudah terutama skuad itu kini menghuni di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas tumpas dua perlawanan terdahulu.

"Tapi kita perlu berwaspada dan tidak boleh mengambil mudah, pasukan itu pastinya hadir untuk mendapatkan mata pertama, jadi saya fikir ia perlawanan yang sukar buat kami, tapi percaya sokongan padu daripada peminat bakal menyuntik lagi semangat kami," katanya.

Berdasarkan keputusan perlawanan sebelum ini, wakil Filipina itu dibelasah 5-2 oleh Bali United dan 9-1 oleh kelab Australia, Central Coast Mariners, dengan keputusan itu peluang buat skuad Penyu untuk mengutip tiga mata tampak cerah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:21 PM