MAMUT jaring gol penyamaan ketika menentang Stallion di tempat lawan semalam.
MAMUT jaring gol penyamaan ketika menentang Stallion di tempat lawan semalam.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut akui puas selepas impian untuk meledak gol pertama di pentas Asia menjadi kenyataan.

Pada aksi menentang kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Bolasepak Binan Laguna petang semalam, Mamut menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua sebelum Sony Norde muncul watak pemusnah apabila meledak gol kemenangan 3-2 skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu.

"Kami bermain dengan baik sejak beberapa bulan lalu dan saya rasa kami layak menang pada hari ini (petang semalam) untuk mengutip tiga mata penuh biarpun beraksi di tempat lawan.

"Kemenangan ini begitu besar ertinya untuk kami mengintai peluang layak ke pusingan kedua Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), lagi pun anda tahu kami datang ke Filipina selepas kami melalui perlawanan sangat sukar bermain di separuh akhir Piala Malaysia.

"Namun saya begitu gembira kerana semua pemain begitu positif dengan mengetepikan soal kepenatan, malah lebih manis saya berjaya menjaringkan gol pertama di pentas Asia selepas mencuba dalam tiga perlawanan lalu.

"Jaringan ini bakal menambah lagi keyakinan kami untuk perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Super dan final Piala Malaysia," kata pemain kelahiran Croatia itu yang sudah meledak 19 gol musim ini bersama TFC termasuk dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Berdasarkan kedudukan terkini, peluang buat skuad kendalian Steinbruckner untuk melangkah ke pusingan kedua cerah selepas kini menghuni di kedudukan kedua Kumpulan G dengan mengutip lapan mata di belakang pendahulu kelab Australia, Central Coast Mariners yang mengumpul sembilan mata hasil empat perlawanan manakala Bali United empat mata dan Stallion Laguna satu mata.

Perlawanan seterusnya TFC bakal berkunjung ke Stadium Industree Group Goford berdepan kelab Australia, Central Coast Mariners pada 29 November ini sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan berdepan kelab Indonesia, Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 13 Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 2:51 PM