ELON Musk melancarkan perkhidmatan internet satelit SpaceX, Starlink di Denpasar, Bali, Ahad lalu. FOTO Reuters
ELON Musk melancarkan perkhidmatan internet satelit SpaceX, Starlink di Denpasar, Bali, Ahad lalu. FOTO Reuters
BERNAMA

Jakarta: Bilionair Elon Musk melancarkan perkhidmatan internet satelit SpaceX, Starlink di Indonesia, bertujuan meningkatkan sambungan jaringan di kawasan terpencil, lapor berita dpa.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Tesla, dan Neuralink itu juga menyebut bahawa syarikatnya yang lain berkemungkinan besar untuk melabur di negara Asia Tenggara itu.

Musk menyertai pegawai utama kerajaan Indonesia di pusat kesihatan masyarakat di Bali untuk perasmian perkhidmatan Starlink, Ahad lalu.

Menerusi pelancaran itu, perkhidmatan Internet akan mencapai kawasan yang mempunyai sambungan terhad atau tiada di kepulauan terbesar dunia, yang terdiri daripada lebih daripada 17,000 pulau.

Musk menekankan bahawa capaian internet boleh menjadi penyelamat untuk klinik perubatan terpencil di Indonesia.

Dalam ciapan di platform X, Starlink mengesahkan: "Di lebih 17,000 pulau, internet berkelajuan tinggi dan kependaman rendah Starlink tersedia di Indonesia!"

"Adalah sangat penting untuk menekankan kepentingan sambungan internet dan betapa besarnya ia boleh menjadi pengubah dan penyelamat nyawa," kata Musk kepada media tempatan.

Starlink, penyedia Internet satelit yang dimiliki oleh syarikat aeroangkasa SpaceX, setakat ini menawarkan perkhidmatan internet dan jalur lebar mudah alih di banyak negara.

Baru-baru ini, Starlink berkata, ia kini digunakan di seluruh 300 pulau di Fiji, sekali gus menjadi negara, wilayah atau pasaran ke-99 di seluruh dunia, yang mana perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi Starlink tersedia.

Starlink juga dipasang di lebih 200 kapal persiaran di seluruh dunia, dengan lebih banyak lagi akan datang dalam talian tidak lama lagi untuk memastikan penumpang dan anak kapal mereka sentiasa berhubung dengan internet berkelajuan tinggi, semasa ia berada di sungai juga di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 12:37 PM