OMID Nazari. FOTO Agensi
OMID Nazari. FOTO Agensi
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kurang beberapa jam sebelum jendela pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) menutup tirainya pada jam 11.59 malam ini, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd mengumumkan Omid Nazari sebagai pemain import terakhirnya pada musim ini.

Bagaimanapun 'arkitek' berusia 32 tahun itu tidak sempat menyarung jersi skuad baharunya itu pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam esok, atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Terdahulu TFC Sdn Bhd berhajat untuk menyambar pemain tengah Thailand kelahiran Switzerland, Charly Yannis Chappuis, tapi atas beberapa faktor pemain itu tidak dapat bersama dengan skuad kendalian Tomislav Steinbrukner itu musim ini.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu diumumkan Ketua Pegawai Operasi TFC Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas yang akui kehadiran pemain itu mampu memperkasakan lagi jentera tengah pasukan selepas meminjam pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) selama semusim minggu lalu.

Jelas Mohd Sabri, pemain kelahiran Sweden yang mendapat taraf kerakyatan Filipina itu 'dirantai' selama semusim bagi menggantikan bekas rakan senegaranya, Luke Woodland yang ditamatkan kontrak atas persetujuan bersama.

"Omid Nazari yang dilahirkan di Sweden sah menjadi milik pasukan TFC bagi kuota Asean bagi menggantikan pemain import musim lalu, Woodland yang tidak lagi bersama pasukan.

"Pemain berketinggian 1.85 meter yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan musim lalu selain memiliki lima penampilan bersama skuad kebangsaan Iran diikat kontrak selama semusim bagi memperkasakan lagi jentera tengah pasukan.

"Kita harapkan kehadiran pemain yang berpengalaman luas beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Malmo FF dalam Liga Sweden itu mampu membentuk gandingan yang lebih mantap di posisi tengah bersama pemain lain termasuk Liridon, Habib Haroon, Damagoj Pusic dan pemain tempatan yang lain," katanya.

Selain berpengalaman beraksi di Eropah, Nazari yang melengkapkan kuota sembilan pemain import TFC juga pernah beraksi dalam Liga Indonesia menyarung jersi pasukan Persib Bandung selain Liga Filipina bersama kelab Ceres-Negros, Global Cebu dan United City FC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 5:54 PM