OMID Nazari (kiri) pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang KU FC. FOTO Ghazali Kori
OMID Nazari (kiri) pada sesi latihan menjelang perlawanan menentang KU FC. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas membelasah pasukan Liga M3, Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers), pemain Terengganu FC (TFC) berikrar untuk meneruskan rentak kemenangan menentang Kelantan United FC (KU FC) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V Kota Bharu, Selasa ini.

Pada aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat lalu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner membenam juara Liga M3 itu 4-0 hasil hatrik Ivan Mamut dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob.

Perancang skuad Penyu, Omid Nazari berkata, dia dan rakan sepasukannya kini berada pada tahap prestasi terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan selepas sebelum ini seri dalam tiga aksi liga berturut-turut.

Jelas pemain kelahiran Sweden itu, semua pemain bebas daripada kecederaan bakal menambah lagi kekuatan pasukannya untuk berdepan cabaran skuad kendalian jurulatih baharu, Ailton Dos Santos Silva itu.

"Atas kertas sudah pasti pasukan kami dilihat lebih baik berbanding lawan terutama skuad itu baharu memenangi satu daripada 18 perlawanan dalam saingan liga.

"Tambahan pula kami berada pada tahap prestasi terbaik selepas berjaya merakam kemenangan besar menumpaskan KL Rovers FC Jumaat lalu, jadi sudah pasti kami mahu meneruskan momentum kemenangan ini.

Berdasarkan rekod, TFC kini menghuni di tangga ketujuh liga dengan mengumpul 26 mata manakala KUFC di kedudukan ke-12 dengan mengutip lapan mata hasil satu kemenangan dan lima seri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 2:22 PM