OMID Nazari (tengah) tekad bantu pasukan lakar kemenangan berdepan Kedah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok. FOTO TFC
OMID Nazari (tengah) tekad bantu pasukan lakar kemenangan berdepan Kedah FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Omid Nazari tanpa berselindung akui pasukannya bakal berdepan ranjau berduri untuk memburu kemenangan berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.

Jelas pemain kelahiran Sweden itu, ketiadaan ramai pemain tonggak yang mengalami kecederaan serta penggantungan menambah lagi kesukaran buat pasukannya untuk mengutip tiga mata di laman sendiri.

Bagaimanapun bekas pemain import Negeri Sembilan FC (NSFC) musim lalu itu percaya jurulatih, Tomislav Steinbruckner dan pembantunya, Badrul Afzan Razali mempunyai pengganti yang sesuai itu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain berkenaan.

Selain pertahanan import kelahiran Montenegro, Argzim Redzovic dan penyerang Croatia, Ivan Mamut yang tidak dapat beraksi selepas masing-masing menerima kad merah, Sardor Kulmatov dan Syafik Ismail mengalami kecederaan manakala penyerang, Jordan Mintah diketepikan kerana masalah disiplin dengan jurulatih.

"Seperti setiap perlawanan yang kami lalui sebelum ini, kami idam tiga mata dan itulah yang saya harapkan untuk perlawanan seterusnya menentang Kedah FC.

"Tapi ia tidak semudah perancangan di atas kertas untuk menjinakkan lawan lebih-lebih lagi kami kehilangan lima pemain utama yang tidak dapat diturunkan, jadi pemain yang ditugaskan perlu bekerja keras untuk membalas kekecewaan tumpas 1-0 pada aksi pusingan pertama kepada pasukan itu.

"Namun saya berkeyakinan pemain yang diturunkan nanti mampu memberikan impak yang positif buat pasukan.

"Malah sekiranya saya disenaraikan dalam kesebelasan utama, sudah pasti saya mahu membantu pasukan untuk memburu kemenangan lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan penyokong setia kami," kata pemain yang mempunyai taraf kerakyatan Filipina itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 5:40 PM