Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Sekalipun pasukan pelawat, Stallion Laguna FC dibelasah dua kali berturut-turut kepada kelab Australia dan Indonesia dalam Kumpulan G Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tetap berwaspada dengan ancaman kelab Filipina itu.

Jelas pengendali kelahiran Croatia yang lebih mesra dipanggil 'Tommy', faktor kecederaan yang dialami beberapa pemain tonggaknya sedikit sebanyak bakal menghimpit pasukannya yang bakal berdepan skuad kendalian Ernest Nierras itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, petang esok.

Namun bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu akui beliau sudah bersedia dengan perancangan selain percaya 'lautan' penyokong yang hadir akan menambah lagi tonik buat pemain ketika beraksi.

Sehingga semalam, kapten pasukan, Habib Haroon dan pertahanan tengah meningkat naik, Safwan Mazlan masih tidak dapat menjalani latihan bersama rakan sepasukannya berikutan masalah kecederaan yang dialaminya.

"Biarpun pasukan itu (Stallion Laguna FC) tewas dua kali berturut-turut dan atas kertas dijangka mudah untuk kami menumpaskannya, namun kami perlu berhati-hati dengan ancaman barisan pemain skuad itu yang dijangka tampil dengan strategi berbeza.

"Malah saya lihat aksi terdahulu kelab Filipina itu, mereka bermain dengan baik pada 30 minit pertama, situasi ini sudah tentu memberikan gambaran ia tugas sukar buat pemain kami.

"Lagipun Habib yang mengalami kecederaan ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia Sabtu lalu, masih belum pulih sepenuhnya lagi, begitu juga Safwan, ketika sesi latihan terakhir nanti saya akan lihat siapa yang cergas dan sebaliknya.

"Bagaimanapun beraksi di tempat sendiri dengan sokongan padu daripada peminat, sudah tentu bakal memberikan kelebihan kepada pasukan kami untuk melakar kemenangan kedua dalam saingan Asia itu," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjelang pertemuan itu, petang esok.

Ketika ditanya mengenai jadual perlawanan yang akan berlangsung pada jam 4 petang, Tommy awal-awal lagi tidak mahu ia menjadi alasan buat pemainnya biarpun sedar masa berkenaan tidak begitu sesuai untuk bermain.

"Perlawanan pada waktu itu tidak begitu sesuai dilangsungkan, tapi saya harapkan aksi terbaik dan bertenaga dipamerkan pemain walaupun kemungkinan cuaca panas kerana sasaran kita adalah tiga mata untuk mengintai peluang mendahului kumpulan," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, TFC menghuni di tangga kedua kumpulan iaitu berkongsi empat mata dengan pendahulu, Bali United, namun kelebihan jaringan memaksa skuad Penyu berada di tangga kedua selepas dua perlawanan manakala ketiga kelab Australia, Central Coast Mariners dengan tiga mata dan kelab Filipina itu ditangga tercorot tanpa sebarang mata.

STEINBRUCKNER (kiri) semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 menentang Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
STEINBRUCKNER (kiri) semasa sidang media menjelang perlawanan Piala AFC 2023 menentang Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 3:24 PM