PADANG SNBJ rosak ketika aksi Pestabola Merdeka yang lalu. -FOTO NSTP
PADANG SNBJ rosak ketika aksi Pestabola Merdeka yang lalu. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan baik sekali gus tiada lagi insiden rumput 'terkopak' pada aksi pertama Kumpulan D saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia menentang Kyrgyzstan, malam esok.

Menurut Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, hasil pemerhatiannya sejak dua minggu lalu menyaksikan keadaan rumput SNBJ lebih baik berbanding pada perlawanan Pestabola Merdeka tempoh hari.

Beliau berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertungkus lumus memastikan padang berada pada keadaan terbaik sekali gus kemungkinan insiden rumput tercabut tidak akan berulang.

"Kalau saya tengok dua atau seminggu lalu keadaan padang bukanlah 'A' tapi lebih baik daripada dulu. Bagus dan bersedia untuk digunakan kelak.

"Pada masa sama, tidak akan ada sesi latihan membabitkan kedua-dua pasukan (Malaysia dan Kyrgyzstan) di stadium terbabit.

"Apa yang boleh saya katakan keadaan padang 70 atau 80 peratus keadaan padang lebih baik cuma ada beberapa bahagian dalam usaha menambahbaik," katanya.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tidak sampai tempoh 48 jam padang baharu SNBJ digunakan namun ia sudah kelihatan rosak sebaik 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Mengikut rekod, gelanggang keramat Harimau Malaya yang dirasmikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

Padang baharu itu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Rumput Zeon Zoysia jenis lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas berbanding cow grass yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2023 @ 1:23 PM