FAIDZ (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil. FOTO Bernama
FAIDZ (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) pada Majlis Perasmian Projek Penggantian Rumput Stadium Nasional di Bukit Jalil. FOTO Bernama
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan tetap dibenarkan menganjurkan acara-acara sukan lain termasuk konsert meskipun rumput Zeon Zoysia sudah ditanam di venue itu nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkata, penggunaan SNBJ tidak terhad kepada perlawanan bola sepak semata-mata sebaliknya ia tetap dibuka bagi penganjuran sukan lain seperti olahraga mahupun aktiviti hiburan.

Bagaimanapun tegasnya, pihak PSM akan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dengan mengikuti segala garis panduan tentang penjagaan rumput Zeon Zoysia agar tidak rosak selepas sesuatu acara dianjurkan.

Jelasnya, PSM akan sentiasa berhubung dengan pihak kontraktor yang menguruskan rumput jenis itu bagi mendapatkan nasihat dan pandangan dari semasa ke semasa.

"Perlu diingatkan bahawa SNBJ ini adalah stadium pelbagai guna. Kita ada acara-acara konsert, olahraga dan terbuka kepada orang awam juga.

"Tapi untuk masa depan apa-apa kami lakukan, kami akan berhubung dan berbincang dengan pihak kontraktor itu sendiri apakah SOP yang perlu dilakukan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian projek penggantian rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Untuk rekod, penggantian rumput SNBJ menelan kos sehingga RM6.4 juta yang peruntukan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12) sebelum ini, selain tajaan daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilaporkan sebelum ini berjumlah RM1.2 juta.

Penukaran rumput daripada Cow Grass kepada Zeon Zoysia itu dijadual bermula 1 April ini dan akan siap sepenuhnya seawal bulan Oktober tahun ini.

Sebelum ini SNBJ melalui proses penukaran rumput sebanyak empat kali sejak 1998 iaitu pada tahun 1998-2005 mereka menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park.

Pada tahun 2005-2013 pula, SNBJ menggunakan rumput jenis Marimo Seashore Paspalum + Zoysia Material; tahun 2013-2015 pula menggunakan rumput Bermuda Mountain Green + Princess dan kali terahir pada 2015 hingga kini menggunakan rumput jenis Axonopus Compressus.

Ujar Faidz lagi, sebaik siap sepenuhnya proses penukaran rumput dan sistem perparitan, skuad Harimau Malaya akan muncul pasukan pertama 'merasmikan' venue itu dalam saingan Pestabola Merdeka yang dijangka berlangsung pertengahan Oktober nanti.

Selain Malaysia, tiga negara lagi bakal menyertai Pestabola Merdeka iaitu terdiri daripada India, Lubnan dan Palestin dari 9-17 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 1:25 PM