KAKITANGAN PSM bertungkus lumus baiki padang yang rosak sebaik tamat perlawanan separuh masa pertama Malaysia bertemu India. FOTO NSTP
KAKITANGAN PSM bertungkus lumus baiki padang yang rosak sebaik tamat perlawanan separuh masa pertama Malaysia bertemu India. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tidak sampai tempoh 48 jam padang baru Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun ia sudah kelihatan rosak sebaik 45 minit pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 sebentar tadi.

Jelas sekali padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan membabitkan Malaysia menentang India sekali gus menimbulkan persoalan dikalangan penyokong bola sepak tanah air terhadap kualiti rumput yang digunakan itu.

Situasi terbabit juga mengganggu corak permainan kedua-dua pasukan apabila ada ketikanya bola melantun dan menghalang pergerakan pemain.

Malah, sebaik tamat separuh masa pertama menyaksikan kakitangan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bertungkus lumus membaiki kembali padang yang rosak bagi memastikan kelancaran perlawanan membabitkan Malaysia bertemu India.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) merasmikan padang baharu SNBJ.

Mengikut rekod, gelanggang keramat Harimau Malaya itu bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

Padang baharu menggunakan rumput Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput jenis Cow Grass dianggarkan mencecah kos sehingga RM1.4 juta.

Rumput Zeon Zoysia jenis lasak dengan cuaca hujan dan tahan panas berbanding cow grass yang tidak sesuai lagi digunakan untuk bola sepak moden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 10:04 PM