PADANG SNBJ menggunakan rumput baharu Zeon Zoysia.
PADANG SNBJ menggunakan rumput baharu Zeon Zoysia.
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Pengalaman baharu dengan suasana dan keadaan rumput lebih moden bakal dirasai seluruh penyokong dan pemain skuad Harimau Malaya apabila berada di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat ini.

Perkara itu diakui oleh Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac apabila gelanggang keramat Harimau Malaya bukan sahaja menggunakan rumput baharu Zeon Zoysia, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.

Jelas Hans, proses naik taraf yang dilakukan di SNBJ diharap dapat memberikan lebih keselesaan kepada peminat yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Saya tak boleh maklum banyak sangat sebab pelancarannya pada Khamis ini yang mana pelancaran akan dilakukan TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana ini adalah inisiatif beliau.

"Bagi saya kita harus tunggu untuk pelancaran itu sebab tanggungjawab PSM adalah mengenai persiapan. Kami teruja untuk pasukan Malaysia berdepan India, Jumaat ini.

"Tetapi pasukan Harimau Malaya akan diberikan satu sesi lebih awal untuk mencuba padang baharu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem 'Harimau Malaya: The Untold Journey' arahan Datuk Afdlin Shauki.

Ujarnya lagi, majlis perasmian padang baharu itu akan disempurnakan oleh Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 8:58 PM